SKMM tiada terima arahan padam kandungan TikTok Sanusi

SKMM tidak terima arahan padam kandungan TikTok Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan menafikan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah meneliti kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa kerajaan menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikToknya. 

“MCMC mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini.

“Saluran media sosial mempunyai garis panduan komuniti yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.

“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosi keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa akaun TikToknya disekat dan sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan. 

Ekoran itu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya bagi memudahkannya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadapnya. 

Beliau juga mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok disekat.

“Depa padam TikTok saya. Tak sat (tadi) kita buka, tak dak pi dah (sudah tiada). Kita baru dok (sedang) popular, medan kita nak jawab (isu) habislah.

“TikTok (saya) tak dak dah lah malam ni (sebab) kena padam, (ada) 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain, kena cari seorang demi seorang, lambat.

“Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dalam satu ceramah di Baling, Kedah malam tadi yang disiarkan menerusi video dimuat naik pengguna TikTok yang kemudiannya tular hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN