TEHRAN: Serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran pada awal pagi Jumaat lalu, tidak mencetuskan risiko radiasi berbahaya setakat ini.
Sasaran awal serangan dilihat tidak melibatkan lokasi yang menyebabkan kesan radiasi berbahaya, menjadikan ancaman terhadap kesihatan awam kekal pada tahap minimum.
Ancaman paling berbahaya biasanya berpunca daripada serangan terhadap reaktor nuklear.
Proses pemisahan atom dalam bahan api reaktor secara berterusan menghasilkan sisa radioaktif berbahaya seperti Caesium 137, Strontium 90 dan Iodin 131, yang boleh meningkatkan risiko kanser.
Namun, setakat ini tiada laporan atau bukti yang menunjukkan reaktor nuklear Iran menjadi sasaran dalam serangan Israel, lapor New York Times.
Imej satelit dan analisis pakar menunjukkan kompleks Natanz, tapak pengayaan uranium terbesar Iran, menjadi salah satu sasaran utama serangan Israel.
Loji Pengayaan Bahan Api Perintis, yang menghasilkan uranium hampir 60 peratus musnah sepenuh, dengan gambar menunjukkan kesan seperti kawah dan asap tebal.
Menurut laporan, terdapat kemungkinan asap itu mengandungi zarah radioaktif U-235, namun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menyatakan tiada ancaman radiasi setakat ini.
“Paras radioaktiviti di luar tapak Natanz kekal tidak berubah dan berada pada tahap normal, menunjukkan tiada kesan radiologi luaran terhadap penduduk atau alam sekitar akibat insiden ini,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB, kelmarin.
Beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai zarah alfa di dalam kemudahan Natanz, namun menyifatkannya sebagai ‘terkawal’ denga penggunaan langkah perlindungan radiasi yang sesuai.










