Siti Rahanim cari ibu kandung Abdul Hannan

Siti Rahanim cari ibu kandung Abdul Hannan

SITI Rahanim Jaimon (kanan) bersama Abilah Abu (kiri) dan Abdul Hannan Abdul Rahim yang mencari ibu kandungnya di rumah mereka di Kampung Parit Bachok, Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang nenek memohon bantuan orang ramai bagi mengesan di mana ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki yang dipeliharanya sejak empat  tahun lalu.

Siti Rahanim Jaimon, 54, berkata, dia memerlukan surat pengesahan daripada ibu kandung kepada Abdul Hannan Abdul Rahim, 4, untuk diambil sebagai anak angkat yang sah dari segi undang-undang.

Menurut Siti Rahanim, dia mengambil Abdul Hannan sehari selepas dilahirkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada tahun 2019 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan.

Katanya, dia mengenali ibu kandung kepada Abdul Hannan yang dikenali sebagai Nurul Nadia Abd. Rahman ketika itu berusia 23 tahun secara tidak sengaja di Perhentian Bas Bandar Simpang Renggam.

“Ketika pertemuan tersebut Nurul Nadia sedang sarat mengandung ada menyatakan sesuatu kepada saya sama ada hendak menjaga bayi yang dikandungnya selepas dilahirkan nanti.

“Saya merasa terkejut dengan tawaran tersebut dari seseorang yang tidak dikenali, namun simpati juga dengan permintaan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Bachok, Benut, disini.

Tambah Siti Rahanim, dalam perjumpaan singkat itu, dia (Nurul Nadia) meminta nombor telefon dan berjanji untuk datang ke rumahnya bagi mengenali dengan lebih dekat dirinya.

“Selepas bersalin di hospital, bayi yang masih merah dan bertali pusat telah diserahkan kepada saya yang turut membantu menjelaskan bayaran bil rawatan di hospital tersebut,” ujarnya.

Katanya, selepas daripada tarikh tersebut, Nurul Nadia tidak ditemukan walaupun beberapa usaha dilakukan termasuk di tempat kerjanya di Gelang Patah mahupun rakan-rakan kenalannya  di Simpang Renggam.

Begitu juga dengan nombor telefon ibu Nurul Nadia juga tidak dapat dihubungi dan menyebabkannya seperti berputus asa kerana bimbang pengambilan Abdul Hannan tidak melalui saluran yang betul.

“Memandangkan Abdul Hannan semakin membesar, saya berharap akan mendapat pengesahan  anak angkat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” tambahnya.

Menurut Zainol, dokumen pemilikan anak angkat penting untuk dia berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi permohonan Sijil Kelahiran (MyKid) dan juga Kad Pengenalan apabila genap berusia 12 tahun.

Jelasnya, ini bagi memberikan kemudahan kepada Abdul  Hannan untuk memasuki tadika seterusnya ke sekolah rendah yang memerlukan surat penjagaan yang sah bagi pendaftaran masuk ke sekolah.

Menurut Siti Rahanim, memandangkan kesihatannya yang tidak mengizinkan, dia akan menyerahkan penjagaan Abdul Hannan kepada anak menantunya, Abilah Abu, 31 yang tinggal bersama-samanya.

Katanya, Abilah yang berkahwin dengan anaknya, Abdul Rahim Zaharudin, 33, sejak tujuh tahun lalu belum dikurniakan sebarang cahaya mata dan mereka berdua telah saling kenal mengenali.

“Abilah pun telah serasi dan mesra dengan Abdul Hannan dan telah menganggapnya sebagai anak sendiri, molek rasanya dia diletakkan di bawah penjagaannya selepas ini,” ujar Siti  Rahanim.

Orang ramai yang mengetahui di mana Nurul Nadia Abdul Rahman berada boleh menghubungi Siti Rahanim Jaimon ditalian (012-7648737) dan Abilah Abu (017-3838324) atau di alamat No 264-B, Kampung Parit Bachok, Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian, Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN