PETALING JAYA: Malaysia perlu segera menyelesaikan pertikaian sempadan maritim membabitkan blok Ambalat di Laut Sulawesi, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sebelah utara Selat
Melaka dan perairan Batu Puteh serta Batuan Tengah di Johor. Isu-isu tuntutan persempadanan bertindih dengan Indonesia dan Singapura harus dimuktamadkan kerana ia membabitkan kedaulatan Malaysia yang sudah 66 tahun mencapai kemerdekaan.
Walaupun terdapat perjanjian menetapkan had sempadan maritim dengan negara-negara jiran sebelum ini selain perkara tersebut di bawah kawal selia Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982, namun pertikaian yang belum berakhir perlu dimuktamadkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Undang-Undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, tidak semua kawasan perbatasan maritim disepakati dan dimuktamadkan bersama meskipun sempadan darat dimuktamadkan menerusi perjanjian dimeterai sebelum dan selepas kemerdekaan.
Menurut beliau, zon Ambalat, ZEE Selat Melaka dan kawasan maritim di sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah antara tiga lokasi dikenal pasti masih berlaku pertikaian sempadan yang boleh mendatangkan masalah antaranya pembolosan kegiatan jenayah rentas sempadan dan pembaziran sumber alam apabila khazanah bumi tidak dimanfaat akibat kekangan tertentu.
Beliau memberi contoh, kawasan maritim sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah yang sehingga kini belum ditetapkan dengan jelas siapakah pemilik sama ada Malaysia, Indonesia atau Singapura.
“Sejak Batu Puteh diputuskan milik Singapura manakala Batuan Tengah hak Malaysia pada 2008, namun perbincangan mengenai persempadanan maritim di kawasan itu masih berterusan sehinggalah kini. Malah Indonesia menunggu Malaysia dan Singapura untuk menyelesaikan pertikaian sebelum menetapkan sempadan maritim di kawasan itu.
“Dalam kawasan pertikaian bagaimanakah Malaysia, Indonesia dan Singapura dapat menentukan wilayah lautnya atau zon berdampingan bagi mengambil tindakan ke atas sebarang aktiviti pencerobohan?,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
HANGAT
Isu persempadanan Malaysia sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan khususnya selepas Malaysia menandatangani Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Laut Sulawesi (Triti Laut Sulawesi) dengan Indonesia pada 8 Jun lalu sehingga menjadi bahan serangan politik politik oleh sesetengah pihak.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat.
Mengulas lanjut berkenaan kawasan EEZ di sebelah utara Selat Melaka, Mohd. Hazmi berkata, setakat kini, belum ada perjanjian antara Malaysia dan Indonesia berkenaan perbatasan itu setelah masing-masing berbeza pandangan berkenaan perkara tersebut.
“Hal ini Malaysia menginginkan garis perbatasan pelantar benua yang diaplikasikan untuk perbatasan EEZ manakala Indonesia pula tidak mahu garis yang sama diguna. Namun, difahamkan perbincangan masih dilakukan mengenai perbatasan tetap antara kedua-dua,” katanya.
AMBALAT
Menyentuh Ambalat pula, beliau berkata, Malaysia dan Indonesia perlu meneruskan rundingan dalam situasi menang-menang untuk menangani pertikaian itu berbanding membawanya ke mahkamah antarabangsa.
Kata beliau, Indonesia mungkin masih berfikir panjang ekoran kekalahan mereka pada 2002 apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan milik Malaysia.
“Rundingan penting dan menerusi langkah ini mampu menyelesaikan pertikaian tanpa perlu membangkitkan rasa tidak puas hati di samping membolehkan kedua-dua negara menikmati situasi ‘menang-menang’,” katanya.
Mohd. Hazmi justeru meminta Malaysia untuk menyelesaikan isu perbatasan maritim dengan baik bagi memastikan tanah air bersama negara lain memiliki wilayah perairan yang utuh dalam menghadapi cabaran mendatang.- UTUSAN







