'Saya perasan jika solat awal waktu, Allah akan mudahkan urusan'

‘Saya perasan jika solat awal waktu, Allah akan mudahkan urusan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘PULANG’ dan ‘kembali’ tidak selalunya tentang tempat atau lokasi. Ia tentang perasaan yang membuat kita sering terkenang sesuatu peristiwa atau seseorang. Wajah selebriti Alif Satar seperti bercahaya, matanya cerlang menceritakan kepada Pancaindera perasaan terujanya ingin pulang ke rumah Allah.

Madinah, Mekah dan Kaabah menyimpan ketenangan luar biasa yang hanya boleh diperolehnya di tanah suci. London, Paris atau kota besar manapun tidak boleh memberikan Alif perasaan syahdu seperti di tanah kelahiran Nabi.

Enam tahun Alif atau Muhammad Alif bin Mohd Satar memanjat doa, memohon agar suatu hari nanti Allah berkenan menerimanya sebagai tetamu. Selepas beberapa kali menunaikan umrah, kini pada tahun 2023, hasrat dan harapan penyanyi itu termakbul apabila dia direzekikan menunaikan haji buat pertama kali bersama-sama isterinya, Sha Dila Halid.

“Perasaan di tanah suci lain. Walaupun kita dikelilingi lima juta orang sekalipun, kita akan rasa keseorangan. Seolah-olah memang semuanya antara kita dan Tuhan. Kita akan selalu terkenang dan ingin kembali.

“Melihat kaabah sahaja sudah dapat pahala. Ia memang tempat yang sangat suci. Semoga lebih ramai orang muda yang menyimpan duit untuk ke Mekah,” katanya.

Ada doa istimewa yang Alif ingin panjatkan di hadapan Kaabah. Namun tidak perlulah diceritakan kepada umum. Apapun, bapa kepada tiga cahaya mata itu tetap mendoakan kesejahteraan tidak hanya buat dirinya, malah buat kenalan terdekat.

“Doa kali ini lebih khusus namun biarlah menjadi rahsia saya. Cuma saya akan tetap memohon keampunan dan dimudahkan urusan dunia dan akhirat. Tidak hanya untuk saya, malah anak-anak, ahli keluarga, sahabat dan mereka yang di sekeliling saya,” ceritanya.

TUHAN SELALU YANG PERTAMA

ALIF mendedahkan sebenarnya tidak mudah bersiap di awal pagi untuk ke sebuah acara kemudian berkejar ke program lain. Tidak lupa juga jika terlibat dengan penggambaran berjam-jam lamanya. Sesibuk apapun, bagi Alif solat adalah kunci kekuatan sehariannya.

“Saya tidak mahu kedengaran seperti ustaz, tapi saya sedaya upaya akan mengutamakan solat. Saya perasan jika kita solat di awal waktu, Allah akan mudahkan.

“Kita jagalah solat. Mungkin kalau tak solat kita akan rasa penat. Mungkin kalau tak solat kita rasa makin tak cukup masa.

“Saya tak sempurna, Allah tutup aib agar orang tak nampak keburukan saya,” katanya.

Selain itu, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu Ke-37 ini sudah membangun prinsip, ada etika yang tidak boleh diruntuhkannya atas nama kerjaya dan populariti.

“Saya tak akan buat apa-apa yang melanggar prinsip saya. Contohnya lakonan, ada batas dan sensitiviti yang kita kena jaga.

“Walaupun ada yang mahu sekadar bekerja tanpa dilihat oleh masyarakat. Tapi ketahuilah menjadi seorang figura tetap akan diperhatikan.

“Ingatlah ada kanak-kanak di luar sana yang sedang memandang kita sebagai contoh. Oleh itu, kita kena tunjukkan tauladan yang baik,” katanya menutup temu ramah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya