PETALING JAYA: “Saya bukan datang dari keluarga berada, hanya gadis kota kecil yang ada cita-cita besar. Banyak yang saya lalui, untuk akhirnya berdiri di tahap ini sekarang.”
Demikian luahan penyanyi yang juga naib juara Big Stage 5, Waode apabila ditanya tentang perjalanannya bergelar penyanyi sehingga berjaya menembusi pasaran muzik Malaysia.
Kongsi gadis kelahiran Baubau, Sulawesi itu, dia memulakan karier nyanyiannya di majlis-majlis perkahwinan dan keraian ketika mula melanjutkan pelajaran di kolej untuk mengumpul wang bagi berhijrah ke kota besar.
“Saya bukan orang senang, perlu bekerja untuk kumpul wang. Selepas tamat sekolah, saya lanjutkan pelajaran ke kolej. Dari situ, saya bekerja sebagai penyanyi di majlis perkahwinan dan cafe.
“Tetapi lihat sahaja percaturan Tuhan, sekarang saya sudah ada di sini (Malaysia). Sudah ada peminat dan dengan usaha tanpa henti, satu hari mungkin saya mampu menjadi seperti idola saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Siapa tahu kan?
“Saya mahu memperkenalkan karya-karya untuk lebih dekat dengan peminat. Kita negara serumpun, jadi tidak kekok. Bahagia dan rasa disayangi oleh ramai” kongsinya.
Tambah pemilik nama sebenar, Waode Heni Andraini itu, pengalaman 10 minggu beraksi di pentas Big Stage 5 banyak mengajar dia untuk lebih menggali kreativiti dan teknik nyanyian yang lebih baik.
“Pengalaman bertanding dengan rakan-rakan di Big Stage cukup luar biasa. Banyak perkara baharu yang saya belajar untuk menjadi penyanyi dan penghibur yang berkualiti.
“Mungkin sebelum ini, saya hanya menyanyi tanpa terlalu memikirkan soal kreativiti yang perlu disembahkan. Namun apabila bertanding, saya sedar kreativiti itu penting dalam menjadikan persembahan nyanyian itu lebih baik.
“Saya belajar untuk menjadi seorang penghibur, bukan semata-mata menyanyi di atas pentas,” ujarnya.