Saman baby Shima, musibah atau anugerah Allah - PU Syed

Saman baby Shima, musibah atau anugerah Allah – PU Syed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencetus Ummah (PU) Syed menganggap saman yang difailkan oleh penyanyi dangdut, Baby Shima sebagai ujian terhadap dirinya mencegah kemungkaran di negara ini.

Pendakwah selebriti itu menjelaskan dia tidak berasa gentar kerana sentiasa menjadikan golongan anbiya sebagai contoh teladan dalam berdakwah.

“Para anbiya dan salafuna soleh ada yang mati dibunuh kerana mencegah kemungkaran dan menyatakan yang hak. Kita diakhir zaman ini, secebis dari itu pun masih belum menyamai perjuangan mereka.

“Adakah ini satu musibah atau anugerah yang Allah hantar memberi ujian seterusnya kepada saya dalam mencegah kemungkaran yang berleluasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia tercinta ini,” soalnya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, sebentar tadi.

Menerusi perkongsian itu juga, PU Syed turut berkongsikan pepatah arab yang bermaksud berkata benar walaupun ia pahit serta tanda pagar #AdeAmbeTakut.

Beberapa jam lalu, Baby Shima, 28, menerusi peguamnya, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi bertindak menyaman PU Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd Rahman Mat Noor berkaitan ucapan kata-kata fitnah terhadapnya.

Muhammad Noor Azfar berkata, pihaknya memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Tuntutan saman itu dipercayai dibuat selepas Abd Rahman pernah mendakwa penyanyi berkenaan ‘menjual agama’ kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.

PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula didakwa memfitnah dan menuduhnya tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN