Salahuddin 'ditidurkan' selepas jalani pembedahan 

Salahuddin ‘ditidurkan’ selepas jalani pembedahan 

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) ditemani Mahfuz Omar dan Fisol Salleh menziarahi Salahuddin Ayub yang baru selesai menjalani pembedahan akibat pendarahan otak di HSB, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub ‘ditidurkan’ selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan oleh dua doktor yang memberikan taklimat kepadanya ketika menziarahi Salahuddin.

“Saya dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dengan ditemani Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh diberi peluang menziarahi Salahuddin.

“Kami diberi taklimat oleh doktor dalam bidang neurosurgeri yang melakukan pembedahan ke atasnya. Secara relatifnya, beliau dianggap stabil selepas melalui pembedahan yang dianggap berjaya pada awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HSB di sini.

Kata beliau, Salahuddin diletakkan di bawah pengawasan pasca pembedahan dengan pengawasan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

“Itu bermakna perkembangannya akan diawasi secara cermat oleh doktor-doktor pakar. Setakat ini beliau sedang diintubasi dan doktor memaklumkan daripada segi tekanan darah dan kadar oksigen, semuanya terkawal serta positif,” ujarnya

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, beliau mula mengetahui mengenai kejadian menimpa Salahuddin setelah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menerusi kumpulan WhatsApp Jemaah Menteri, pagi semalam.

“Kebetulan saya memang berada di Kedah dan disebabkan itu, saya mengambil kesempatan menziarahi Salahuddin di sini. Saya sempat bertemu dengan keluarganya tadi dan saya fikir mereka perlu diberi ruang untuk menghadapi keadaan ini di samping lain-lain pihak mendoakan buat Salahuddin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, satu kenyataan dikeluarkan KPDN meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian menimpa Salahuddin.

“Orang ramai dimohon agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap situasi yang berlaku.

“Pejabat KPDN akan memaklumkan mengenai perkembangan kesihatan beliau dari semasa ke semasa dan kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan memberi sokongan berterusan kepada menteri,” katanya.

Terdahulu Salahuddin dilaporkan menjalani pembedahan di HSB awal pagi semalam setelah dikejarkan ke hospital tersebut kira-kira pukul 10.15 malam kelmarin.

Menurut Setiausaha Akhbar Menteri KPDN, Syakirin Husnal, Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh pakar di hospital berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN