3,000 lembu terkandas lebih sebulan di laut berjaya diselamatkan

3,000 lembu terkandas lebih sebulan di laut berjaya diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTEVIDEO: Hampir 3,000 ekor lembu dari Uruguay yang terkandas di laut selama sebulan selepas kapal yang membawa ternakan itu dihalang daripada memasuki Turkiye akhirnya selamat diturunkan di Libya, demikian menurut kerajaan Uruguay.

Insiden membabitkan lembu yang terperangkap di atas kapal pengangkut ternakan Spiridon II itu mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan pertubuhan kebajikan haiwan.

Pihak berkuasa Turkiye sebelum ini menolak kemasukan kapal tersebut ke pelabuhan Bandirma di barat laut negara itu bulan lalu berikutan percanggahan pada sijil kesihatan haiwan terbabit.

Menurut Kementerian Pertanian Uruguay pada Isnin, semua ternakan berkenaan berjaya diturunkan dalam keadaan selamat dan sihat di Pelabuhan Benghazi, Libya, selepas mengharungi perjalanan laut selama dua bulan.

Namun, Yayasan Kebajikan Haiwan meragui dakwaan tersebut apabila mendakwa puluhan ekor lembu mati sepanjang pelayaran dari Uruguay ke Turkiye dan menggesa supaya siasatan penuh dijalankan, sambil menegaskan kes tersebut menunjukkan risiko besar dalam penghantaran haiwan hidup melalui laut.

Mereka turut menyatakan kebimbangan bangkai haiwan yang mati mungkin dibuang ke laut secara haram.

Kerajaan Uruguay menyalahkan insiden itu kepada pertikaian antara syarikat pengeksport ternakan negara tersebut dengan pembeli dari Turkiye.

Sementara itu, Syarikat Ganosan, pengeksport lembu Uruguay yang menguruskan penghantaran itu menafikan sebarang salah laku dan sebaliknya menuding jari kepada pelanggan Turkiye berkenaan.

“Kami sudah menjual lembu, kami menaikkannya ke kapal, pembeli membayar dan mereka yang menyewa kapal itu, kapal bertolak dan urusan kami tamat di situ, malah kami mempunyai bukti,” kata Ketuanya, Fernando Fernandez kepada media Uruguay.

Uruguay, sebuah negara kecil di Amerika Selatan mempunyai hampir empat kali ganda jumlah lembu berbanding penduduk, merupakan pengeluar daging lembu utama dunia.

Penghantaran 2,901 ekor lembu tersebut berlepas dari Montevideo pada pertengahan September sebelum tiba di perairan Turkiye pada 21 Oktober lalu sebelum berlabuh di luar pesisir selama sebulan sementara pertikaian dokumentasi terus berlarutan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN