JERANTUT: Seorang warga emas dari Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar di sini memilih tanaman rumput napier atau rumput gajah untuk dijual sebagai sumber pendapatan bagi menampung kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nasir Khalid, 61, berkata, ekoran faktor usia, dia hanya mampu melakukan kerja ringan untuk mencari rezeki bagi menyara isteri dan lima anaknya.
“Seorang rakan mencadangkan saya menanam rumput napier untuk dijual kepada penternak lembu dan kambing di kawasan sekitar memandangkan masih ada tanah terbiar di kampung ini.
“Saya menyahut cabaran rakan dengan membeli benih rumput ini dengan harga RM3 sekilogram daripada seorang pengusaha di Selangor dan menanamnya di kawasan tanah seluas 0.4 hektar di kampung ini,” katanya di sini semalam.
Menurut Nasir, pada peringkat awal pengurusan tanaman itu, dia mengeluarkan perbelanjaan hampir RM6,000 untuk mengupah jentera membersihkan tanah terbiar membina pagar, baja organik dan memasang paip bermeter serta saliran ‘sprinkler’ untuk kemudahan pengairan tanaman berkenaan.
“Dibantu seorang ahli keluarga, kami merintis tanaman ini dengan 1,000 benih rumput dan meneruskan penjagaannya setiap hari termasuk membersihkan rumput dan siraman. Penjagaan rumput ini cukup mudah tidak cerewet seperti tanaman lain.
“Ketika usia rumput napier ini mencecah lima bulan dan ketinggian lebih dua meter, baharulah boleh ditebang dan saya bersyukur sudah memperoleh pendapatan pertama walaupun tidak lumayan seperti tanaman komersial lain,” katanya.
Katanya, harga rumput napier siap diproses dengan mesin yang dijualnya adalah 50 sen sekilogram dan jika pembeli datang sendiri menebang pokok dikenakan caj 20 sen sekilogram.
“Sekiranya dijual terus sekali dengan batang dan daun harganya ialah 35 sen bagi berat yang sama.
“Bagi pusingan pertama ini, saya telah menjual rumput napier yang siap diproses seberat kira-kira 10,000 kilogram dengan pendapatan hampir RM5,000 berasaskan harga 50 sen berat sekilogram,” katanya. – UTUSAN











