KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk diperluaskan lagi Jualan Rahmah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu diperluaskan supaya semua rakyat dapat menggunakan kemudahan yang disediakan tersebut.
Katanya, program Rahmah yang menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah, dilihat sebagai antara elemen penting dalam usaha kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar di negara.
“Kementerian ada mengusulkan supaya kalau boleh kita perluaskan (jualan Rahmah) di setiap kawasan DUN di negara supaya semua dapat mengecap kemudahan itu.
“Tentunya ia mengambil kos yang lebih dan saya akan pastikan untuk menyegerakan pelaksanaan ini (secara) berperingkat dan kita luluskan (peruntukan) tambahan RM50 juta untuk ia dilaksanakan.
“Kalau wang dana tidak cukup, saya nanti bincang dengan Menteri Kewangan cari wang tambahan,” selorohnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023, di sini, semalam.
Mengulas lanjut berhubung perluasan inisiatif tersebut, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan ‘Jualan Rahmah’ yang dipelopori oleh Allahyarham bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, disebabkan program tersebut menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah.
Tegasnya, tiada guna jika membicarakan soal kasih sayang, belas kasihan dan prihatin jika soal makanan golongan tidak berkemampuan tidak terjamin.
“Sebab itu dalam Perbelanjaan Madani, saya katakan tahun ini, kita catat 130,000 keluarga termiskin… miskin tegar, untuk itu kita mesti noktahkan.
“Kita mahu catat rekod bahawa negara ini dengan sumber, prihatin, kasih sayang antara profesional elit dan ahli perniagaan, tiada alasan mengapa sekurang-kurangnya disediakan keperluan asas kepada golongan termiskin.
“Tak mungkin kita fikir boleh hidup dengan selesa, kemudian ada keluarga di Sarawak, Kelantan, Kedah atau pun di pinggir bandar Kuala Lumpur yang tidak ada wang untuk beli susu anak, uniform sekolah. Ini tidak harus berlaku di Malaysia tercinta ini,” katanya.
Jelas Anwar, beliau berharap sasaran menokhtahkan golongan termiskin tersebut dapat dicapai sebelum penghujung tahun ini dengan kerjasama semua pihak
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut melakukan pelepasan (flag off) sebanyak 16 lori yang akan bergerak ke 1,133 lokasi di seluruh negara dalam Jualan Rahmah Bergerak #KedaiCariRakyat. –UTUSAN










