PUTRAJAYA: Selepas tersungkur di Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Rina Harun dikatakan mengintai peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Difahamkan, kali ini Ketua Srikandi Bersatu itu mahu mencuba nasib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang disandang Rodziah Ismail daripada Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal berturut-turut sejak 2008.
Dalam pengumuman calon PKR Selangor kelmarin, kerusi DUN Batu Tiga diserahkan kepada Danial Al Rashid daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Turut difahamkan, Rina bakal diletakkan di DUN Morib untuk berdepan juga dengan calon Amanah yang juga penyandang kawasan itu, Hasnul Baharuddin sebagai calon PH.
Bagaimanapun pencalonan semula Hasnul dibantah kepimpinan Amanah Kawasan Kuala Langat kerana beliau menjadi ADUN selama dua penggal sejak 2013 dan mahu parti menampilkan muka baharu yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat.
Rina yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa sebelum PRU15, tewas di Sepang selepas calon Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu mendapat majoriti 8,949 undi.
Ramai menjangkakan Rina bertanding di kawasan DUN dalam Daerah Sepang memandangkan beliau sering menggunakan sentimen sebagai anak jati Sepang untuk berkhidmat di daerah ini.
Bagaimanapun, faktor anak tempatan bagi merebut sesuatu kawasan bukan menjadi isu utama untuk pengundi memilih wakil rakyat mereka.
Ini kerana calon PH, Aiman Athirah juga bukanlah penduduk Sepang tetapi boleh menang selesa apabila menerima 56,264 undi menewaskan tujuh calon lain dalam persaingan lapan penjuru.
Justeru Rina, 50, tidak perlu runsing dengan kontroversi ‘lari kawasan’ kerana jika benar bakal dicalonkan di DUN lain pula.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu dilihat mampu memenangkan Perikatan Nasional (PN) atas dasar pengalaman luas dalam karier politik walaupun bertukar kerusi.
PN bakal mengumumkan calon bagi peringkat negeri Selangor hari ini. – UTUSAN










