LUMUT: Perintah tahanan reman seorang wanita warga asing disyaki membunuh seorang lelaki tempatan dalam sebuah ladang kelapa sawit, disambung sehingga Jumaat ini.
Wanita berusia 38 tahun itu sebelum ini direman pada 25 Jun sehingga kelmarin untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata suspek yang ditahan pada awal pagi 25 Jun lalu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Sehingga kini, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian pembunuhan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 25 Jun lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita warga asing ditahan untuk disiasat berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki dibunuh dalam sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar dekat sini, pada petang 24 Jun.
Siasatan awal mendapati mangsa mati di tempat kejadian dengan kesan beberapa tetakan pada tubuhnya dan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mengesahkan punca kematian akibat kecederaan di kepala dan pendarahan yang banyak ekoran kesan tetakan senjata tajam.
Sementara itu, Mohamed Nordin memaklumkan siasatan polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui dalam kes kematian mengejut seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di Hospital Seri Manjung (HSM) pada 17 Jun lalu.
Beliau memaklumkan, polis membuka kertas siasatan kematian mengejut untuk siasatan lanjut dan mendapati tiada kecederaan ditemui pada tubuh remaja tersebut.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan mengenai kematian pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina itu pada pukul 4.38 petang 17 Jun lalu. – UTUSAN