KUALA TERENGGANU: Tiga beradik buntu memikirkan masalah kewangan yang diperlukan untuk membawa pulang ibu mereka yang kini terlantar sakit di sebuah hospital swasta di Madinah.
Zuraini Sapi’n, 32, berkata, ibu mereka, Hasmah Hamid, 62, pergi ke tanah suci bersama sebuah syarikat yang menyediakan pakej umrah pada 30 April lalu dan sepatutnya pulang pada 12 Mei.
Bagaimanapun, katanya, ibu mereka jatuh sakit pada 9 Mei di Madinah dan terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan.
“Ibu menghidap jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa ditidurkan, manakala ahli rombongan umrah yang lain pulang semula ke Malaysia pada 12 Mei mengikut jadual.
“Sepanjang rawatan setakat 6 Julai lalu, bil rawatan yang dikenakan ialah RM263,556 (212,000 Riyal) atau bersamaan RM6,216.18 (5,000 Riyal) untuk satu hari di wad.
“Alhamdulillah, setakat ini, sebanyak RM124,323.60 (100,000 Riyal) telah dibayar menggunakan insurans, namun kami perlu membayar baki RM139,242.43 (112,000 Riyal) lagi sebelum boleh membawa pulang ibu ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Chendering di sini semalam.
Zuraini memberitahu, antara usaha yang dilakukan mereka ialah membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta membuat kutipan dana awam di media sosial, baru-baru ini.
Jelasnya, permohonan Maidam masih dalam proses manakala sumbangan awam pula telah mencecah RM37,000 setakat ini.
“Apa yang membimbangkan kami sekeluarga ialah masa yang semakin singkat kerana doktor memaklumkan risiko untuk ibu jatuh sakit semula tetap ada.
“Besar harapan kami agar pihak berkuasa dapat membantu menguruskan kepulangan ibu ke pangkuan keluarga kerana kami terlalu rindukannya, namun apakan daya jumlah rawatan bil yang perlu dibayar adalah di luar kemampuan,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini boleh menyalurkan bantuan kepada Mohd. Asdi melalui akaun Maybank nombor 5630-1933-6137. – UTUSAN










