PRN Selangor: Azmin nafi 'lari tinggalkan' DUN Bukit Antarabangsa - Utusan Malaysia

PRN Selangor: Azmin nafi ‘lari tinggalkan’ DUN Bukit Antarabangsa

Azmin
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya nak tegaskan Hulu Kelang merupakan kerusi pertama yang saya mendapat mandat rakyat semenjak 1999”.

Demikian penjelasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau lari daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang disandang beliau.

Jelasnya, tidak timbul dakwaan beliau lari daripada kerusi DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang kerana kerusi DUN itu merupakan salah sebuah DUN di bawah Parlimen Gombak.

“Ketika saya menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal iaitu mulai 2008 sehingga baru-baru ini, Hulu Kelang adalah sebahagian daripada Parlimen tersebut.

“Jadi tidak timbul (isu) saya lari satu kawasan ke kawasan yang lain. Sebagai pemimpin kita sedia memberi khidmat di mana jua yang diperlukan oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon PN bagi PRN Selangor di Padang Awam MBPJ Taman Medan.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau akan memastikan Selangor pada PRN kali ini akan menjadi milik PN dan merampas daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan bekerja kuat sedaya upaya saya untuk memastikan PN menang di Selangor,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta ulas mengenai calon Menteri Besar Selangor sekiranya PN berjaya memenangi PRN Selangor, Mohamed Azmin berkata, mereka hanya memberi fokus terutama kepada menyelesaikan masalah rakyat.

“Itu harus menjadi keutamaan kita (PN), bukannya kuasa ataupun kedudukan.

“Maka untuk melaksanakan dasar-dasar peduli rakyat, kita (PN) harus menang dalam PRN. Maka itu adalah arahan yang sudah diberikan kepada semua calon dan jentera,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN