KUALA SELANGOR: “Isu itu tidak sesekali melemahkan semangat saya yang mempunyai hak untuk bertanding dan dipilih oleh parti”.
Demikian tegas Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Ya’ apabila dikaitkan dengan isu kluster mahkamah selepas dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.
Menurutnya, undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa semua rakyat sama ada berparti atau sebaliknya mempunyai hak untuk bertanding dan perlu mematuhi syarat seperti bebas muflis dan menyelesaikan isu-isu berkaitan undang-undang di mahkamah.
“Kalau ada pertikaian melibatkan saya, sudah pasti parti tidak memilih saya (sebagai calon). Jika ada isu, tidak mungkin juga saya dipilih menjadi Ketua Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat malah sudah tentu saya sudah ditolak sebelum ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan keputusan PKR meletakkan Mohd. Yahya sebagai calon bukan satu kesalahan meskipun beliau pernah dipenjara sebelum ini.
Malah, beliau dikatakan tidak dianggap sebagai kluster mahkamah semata-mata bagi menghalang daripada bertanding kerana pertuduhan dihadapinya pada 2008 dan sudah menerima hukuman.
Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memaklumkan meskipun pernah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan, Mohd. Yahya tiada halangan bertanding pada PRN nanti.
Dalam pada itu Mohd. Yahya, menjelaskan undang-undang menyatakan tempoh bagi mereka yang boleh bertanding adalah melebihi lima tahun selepas dijatuhi hukuman.
“Jika pertikai saya ini kluster mahkamah, sudah tentu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri kerana beliau berada lama dalam penjara. Bagi saya, saya punya hak untuk bertanding dan tidak mempunyai isu,” ujarnya.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kepimpinan parti terutama presiden yang memberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Saya sebagai anak jati Tanjong Karang mahu memfokuskan faktor pembangunan terutama ekonomi dan pendidikan rakyat setempat,” katanya. – UTUSAN










