GOMBAK: Parlimen Gombak antara kawasan ‘panas’ yang menyaksikan pertembungan tiga pengerusi parti negeri yang akan menghantar borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), sebentar lagi.

Mereka adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kehadiran mereka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu bagi menghantar borang pencalonan bagi menawarkan diri membabitkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Megat Zulkarnain akan bertanding di kerusi DUN Gombak Setia dan bertembung dengan penyandang, Hilman Idham dari PN.

Selain itu, Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor mengesahkan mempertahan Sungai Tua manakala PN mempertaruh Muhammad Hanif Jamaluddin.
Seperti dijangka, Mohamed Azmin yang berpindah kawasan dari Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang dan beliau dijangka berhadapan bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin parti kerajaan Perpaduan hadir mengiringi tiga calon BN-PH.
Mereka dijangka berkumpul di bilik gerakan BN di Jambatan Sungai Chin Chin dan kemudian bergerak ke pusat penamaan calon di SMK Sungai Pusu. – UTUSAN