PRN: Perketat kawalan masjid, surau elak jadi medan politik - JAIS - Utusan Malaysia

PRN: Perketat kawalan masjid, surau elak jadi medan politik – JAIS

PRN Masjid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pentadbir masjid dan surau di Selangor diingatkan supaya meningkatkan kawalan dan larangan ditetapkan supaya rumah ibadat itu tidak dijadikan medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihak berkenaan perlu memastikan semua peraturan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dipatuhi sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Menurutnya, pemantauan pihaknya mendapati pentadbir masjid dan surau masih mengambil ringan dengan mengendah atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan itu.

“Selain itu, pemerhatian mendapati ada pihak membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan bahan itu bagi tujuan politiknya.

“Ini suatu perbuatan yang jelas melanggar ketetapan MAIS bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas  elemen serta pengaruh politik kepartian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Mohd. Shahzihan, tindakan pihak tertentu mengambil kesempatan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik itu disifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab dan turut melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Baginda sejak 2018 bertitah agar masjid dan surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

“Selain itu, baginda sentiasa mengingatkan perkara berkenaan kepada semua pihak termasuk pentadbir ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam serta Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor,” ujarnya.

Tambah beliau, ketetapan  MAIS berhubung perkara itu juga masih berkuatkuasa.      

“Sebarang tindakan bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. 

“Pegawai masjid juga boleh dibatalkan pelantikannya berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya