PRN: Op Room Cantas pantau kesalahan PRN secara masa sebenar

PRN: Op Room Cantas pantau kesalahan PRN secara masa sebenar

RAZARUDIN Husain berkomunikasi secara langsung dengan ketua polis negeri bagi mendapatkan maklumat berkaitan PRN. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua maklumat berkaitan perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri disalurkan secara langsung terus ke bilik gerakan ‘Op Room Cantas’ yang berpusat di Bukit Aman supaya tindakan serta-merta dapat diambil. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Room Cantas bertindak sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak bagi tindakan segera diambil.

Kata beliau, ia bertindak merakam apa juga insiden di enam negeri terlibat mengikut masa sebenar.

“Semua maklumat ini disalurkan oleh pasukan operasi ini  yang berada di lapangan dan unit dron yang diterbangkan di setiap negeri.

“Pemantauan daripada dron dan pasukan Op Room Cantas mempunyai link dengan pusat gerakan di sini (Bukit Aman),” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, setiap kesalahan yang berlaku pada PRN ini akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari.

Beliau berkata, siasatan segera dibuat dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya di negeri dan daerah masing-masing untuk tindakan lanjut.

“Tindakan ini bagi memastikan semua siasatan berkaitan 3R dapat diselesaikan dengan cepat bagi mengelakkan kelewatan siasatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, proses penamaan calon bagi PRN di enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu berjalan lancar dan terkawal tanpa insiden diingini.

Jelas beliau, pemantauan di 173 pusat penamaan calon juga mendapati tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Katanya, kumpulan penyokong dan calon yang bertanding masing-masing memberi kerjasama baik dan mematuhi segala arahan dan peraturan ditetapkan. 

“Kita berterima kasih kepada semua calon dan kumpulan penyokong yang menunjukkan kematangan sejak proses penamaan calon bermula pada pukul 9 pagi ini.

“Proses penamaan calon secara keseluruhan berjalan dengan baik sehinggalah proses itu selesai pada pukul 11 pagi,” katanya.

Menurut beliau, seramai 17,176 anggota dan pegawai PDRM ditugaskan di lapangan di 173 pusat penamaan calon di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah  hari ini.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menggerakkan 82 pasukan Op Cantas membabitkan 1,459 pegawai dan anggota bagi memantau proses penamaan calon.

“Selain itu, tugas kawalan dan pemantauan proses penamaan calon di semua pusat dibantu 572 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

PRN yang bermula hari ini melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan (45 DUN), Terengganu (32 DUN), Pulau Pinang (40 DUN), Selangor (56 DUN) dan Negeri Sembilan (36 kerusi DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos ini manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN