PRN: DAP umum calon dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

PRN: DAP umum calon dalam masa terdekat

NGA Kor Ming (kanan) ketika melawat Pasar Awam Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: DAP akan mengumumkan senarai calon dari parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).dalam masa terdekat.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, pengumuman calon akan dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sedang memilih satu tarikh keramat untuk mengumumkan senarai nama calon dari DAP yang akan bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

“Tarikh, masa dan tempat kita akan maklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja di sini hari ini.

Menurutnya, DAP akan memberi tumpuan penuh ke semua enam negeri yang diadakan PRN.

“Kita bukan hanya memberi fokus kepada Pulau Pinang tetapi kesemua enam negeri turut diberi perhatian penuh.

“Selain mahu mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, kita juga akan jadikan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah sehaluan dengan kerajaan Pusat,” katanya.

Nga tidak menafikan ada cabaran dalaman di antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan namun ia merupakan asam garam dalam politik.

“Tak kenal maka tak cinta, jadi antara DAP dan UMNO kita mencari titik persamaan dan bukannya mencari perbezaan.

“Antara kita (DAP) dan dia (UMNO) sudah tidak lagi bergaduh, kita cari titik persamaan dan bekerja bersama-sama untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Tegas Nga, tidak adanya guna untuk bercakaran sedangkan rakyat semakin terhimpit.

“Kita muafakat untuk bekerja sebagai satu pasukan yang akan membawa manfaat kepada rakyat.

“Saya percaya sekiranya kita menang besar dalam PRN di enam negeri, saya jangkakan dalam tempoh lima tahun negara akan stabil, ekonomi akan rancak semula dan pelabur asing akan masuk serta ringgit akan kukuh semula” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya