PRN: Ahli Pas terus bantah Dominic tanding di kerusi kubu kuat parti itu - Utusan Malaysia

PRN: Ahli Pas terus bantah Dominic tanding di kerusi kubu kuat parti itu

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Hasrat Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kubu kuat Pas di Pulau Pinang terus ditentang ahli akar umbi Pas.

Sebelum ini, Dominic dikatakan akan bertanding di salah satu kerusi DUN di Tasek Gelugor dan mendapat tentangan keras daripada pimpinan dan ahli akar umbi Pas kawasan DUN terbabit.

Difahamkan yang terbaharu, semua ketua-ketua cawangan dan seluruh jentera DUN Bayan Lepas pula mengancam akan memboikot hari penamaan calon Sabtu ini dan menutup Bilik Operasi Pas di seluruh DUN Bayan Lepas sekiranya Dominic bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas.

Kerusi DUN Bayan Lepas merupakan kerusi tradisi Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke12 (PRU-12).

Menurut sumber Pas, kerusi DUN Bayan Lepas mempunyai majoriti 64 peratus pengundi Melayu sekali gus pengundi-pengundi di situ mahukan calon Melayu daripada Perikatan Nasional (PN).

”Ketua-ketua cawangan Pas dan seluruh jentera Pas di Dun Bayan Lepas hari ini dengan sekeras-kerasnya membantah hasrat Dominic untuk bertanding di DUN Bayan Lepas pada PRN kali ini yang jelas tidak menghormati keputusan Mesyuarat PN peringkat negeri,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkenaan berkata, pimpinan Pas kawasan Bayan Lepas memberi amaran keras kepada Dominic yang mana sekiranya beliau masih berkeras untuk bertanding di kerusi Melayu, seluruh jentera akan memboikot dan menutup Bilik Operasi Pas di seluruh Dun Bayan Lepas.

“Kami akan memastikan kekalahan kepada calon Parti Gerakan jika tuntutan ini tidak dipenuhi,” katanya.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai perkara terbabit, Dominic berkata, PN akan cuba menyelesaikan sebarang isu antara parti secara dalaman, bukannya menyuarakannya secara terbuka melalui media.

”Biarlah kita selesaikan perkara ini secara dalaman dahulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding di DUN Bayan Lepas, Dominic tidak menafikan mahupun mengesahkannya.

”Tunggu pengumuman rasmi malam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya