PETALING JAYA: Polis masih lagi menyiasat jika pelaku yang meletakkan objek jenis Improvised Explosive Device (IED) di tayar belakang kereta milik aktivis, Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim, Jumaat lalu, mempunyai kepakaran dalam pembuatan bom tangan atau tidak.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan tempat-tempat yang dimaklumkan oleh Siti Kasim sedang giat dilakukan bagi mengesan pelakunya.
Dalam masa sama kata beliau, keterangan sembilan orang saksi melibatkan individu-individu yang mempunyai hubungan awal dengan kes itu sudah dipanggil bagi merakam percakapan untuk membantu siasatan.
“Rakaman CCTV diperoleh dan sedang diteliti. Kita masih jalankan siasatan,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penemuan objek itu sebagai satu jenayah serius dan ancaman bom umpama cubaan membunuh.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia, pihak polis sedang mengesan cap jari serta bukti-bukti berkaitan bagi siasatan lanjut dalam usaha menjejak pelakunya.
Tegas beliau, tindakan agresif dalam siasatan itu akan diambil memandangkan jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian.
Pada 21 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan objek mencurigakan yang ditemukan di bahagian bawah kereta Siti Kasim adalah bahan letupan termampat (IED).
Bagaimanapun polis belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.
Justeru, siasatan kes itu mengikut Seksyen 7 Akta letupan 1957.
Terdahulu, sepasukan pegawai Unit Pemusnah Bom (UPB), PDRM menjalankan ujian ke atas objek dalam dua botol plastik yang dipasang pada bahagian tayar belakang kereta Siti Kasim yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, dekat sini.
Siti Kasim mendakwa dua objek terbabit ditemukan dalam keadaan tersangkut di bahagian belakang tayar keretanya.
Wanita itu menghantar kenderaannya untuk diselenggara kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di negeri itu. – UTUSAN