Pesawat khas bawa pulang jenazah Allahyarham Salahuddin ke Johor Bahru - Utusan Malaysia

Pesawat khas bawa pulang jenazah Allahyarham Salahuddin ke Johor Bahru

ANTHONY Loke sewaktu ditemui pemberita pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban malam ini. - Pic: MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEREMBAN: Sebuah pesawat khas akan diterbangkan ke Alor Setar, Kedah malam ini bagi membawa pulang jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ke Johor Bahru, Johor sebelum disemadikan di kampung halamannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya telah mengatur penerbangan khas menggunakan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membawa jenazah Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pukul 9.23 malam ini.

“Saya telah menerima khabar duka ini kira-kira satu jam lalu daripada pegawainya dan saya telah aturkan untuk penerbangan khas membawa jenazah dari Alor Setar ke Johor Bahru.

“Pesawat MAS akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam ini dan dijangka tiba di Alor Setar, pukul 1 pagi sebelum pesawat akan terus bergerak ke Johor Bahru,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, di sini malam ini.

Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan malam ini memaklumkan, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.

Sementara itu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kehilangan Salahuddin memberi kesan kepada kepada kepimpinan PH kerana Allahyarham disifatkan sebagai seorang pemimpin yang amat disayangi dan mempunyai prinsip perjuangan yang disegani.

“Beliau seorang pejuang dan pemimpin PH yang sangat disanjungi dan disayangi atas prinsip perjuangan yang tak pernah tinggalkan rakan dalam parti.

“Beliau juga telah melaksanakan tugas dengan cukup baik selain banyak inisiatif dilakukan bagi membantu rakyat seperti Menu Rahmah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya