Pesara polis berjaya tangkap ikan naga laut - Utusan Malaysia

Pesara polis berjaya tangkap ikan naga laut

HARUN Jusoh menunjukkan ikan naga laut yang ditangkapnya di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang pesara polis terkejut apabila menemukan spesies ikan ganjil iaitu ikan naga laut atau dikenali sebagai Oarfish yang tersangkut pada pukatnya ketika keluar menangkap ikan di Pantai Teluk Ketapang di sini, pagi semalam.

Harun Jusoh, 63, berkata, dia terkejut apabila melihat seekor ikan naga dianggarkan sepanjang dua meter tersangkut di pukat tersebut yang dipasangkan kira-kira 100 meter dari Pantai Teluk Ketapang pada pukul 8.30 pagi.

.Menurutnya, dia kemudian membawa ikan tersebut ke jati sebelum diserahkan kepada  Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Sebaik sampai di jeti, rakan nelayan yang lain terus mengerumuni ikan tersebut dan salah seorang daripada mereka memberi cadangan agar saya menyerahkannya kepada UMT untuk dibuat kajian.

“Tidak lama selepas itu, pegawai dari Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) datang untuk mengambil ikan tersebut dan saya berharap sumbangan itu dapat memberi peluang kepada pelajar UMT untuk meneroka keajaiban sains lautan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Harun yang memang suka mengikut ayahnya ke laut sejak kecil berkata, tangkapan ikan naga laut tersebut adalah pengalaman kali pertama.

“Ada juga yang kata ikan ini boleh dijual pada harga tinggi kerana ada peminatnya tersendiri tapi saya mengambil keputusan memberikannya kepada UMT agar banyak pihak mendapat manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Kurator Kanan RRC Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Azwarina Mohd. Azmi Ramasamy berkata, spesies tersebut memang ada di perairan negara namun sangat jarang ditemukan kerana biasanya berada di laut dalam. 

“Berdasarkan rekod kami, spesies ini pernah dijumpai beberapa kali pada tahun 2012 di pantai Pengkalan Maras, di sini, seterusnya pada tahun 2015 di Pulau Redang serta tahun 2018 dan 2020 di Miri, Sarawak.

“Salah satu spesimen 2012 masih berada di dalam Galeri Penyelidikan INOS untuk paparan masyarakat manakala spesimen terawal yang dijumpai pula berada di dalam pameran Muzium Negeri Terengganu,” katanya.

Ketika ini, sampel ikan itu dikuarantin dahulu selama 24 jam sebelum kerja-kerja post-mortem dilakukan UMT untuk maklumat lebih terperinci. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya