PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) mahu Kerajaan Negeri Sabah ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memikirkan soal membela rakyat tanpa mengambil kira kawasan penyokong kerajaan atau pembangkang.
Ia berhubung peruntukan khas RM3 juta ketika ini hanya disalurkan untuk wakil rakyat Sabah yang menyokong kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking berkata, meskipun tidak akan menuntut peruntukan itu, beliau tidak sanggup melihat ramai rakyat di kawasan pembangkang meminta pertolongan dalam aspek kecemasan dan keperluan asas.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog itu hanya membantu setakat termampu kerana beliau sendiri tidak mendapat sesen peruntukan daripada kerajaan kerana berstatus ‘pembangkang’.
“Kami sebagai pembangkang tidak juga bermaksud mahu diberi peruntukan ini, tetapi terpulang kepada kerajaan jika berfikir secara matang.
“Ada ramai rakyat di kawasan kami meminta pertolongan dan kami juga tidak pernah menolaknya, cuma kami tidak dapat membantu mereka untuk memberi sebanyak mana yang mereka mohon.
“Saya cuma mahu kerajaan bersikap rasional tanpa fikirkan siapa kerajaan atau pembangkang, tetapi fokus kepada membantu rakyat walau di mana sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, bekas ADUN Warisan yang menyokong GRS sudah menerima RM3 juta sebagai peruntukan khas wakil rakyat yang menyokong kerajaan negeri.
Wang RM3 juta itu dengan agihan RM2.5 juta bagi pelaksanaan projek-projek kecil dan RM500,000 dalam bentuk Sentuhan Kasih telah disalur kepada setiap wakil rakyat yang menyokong kerajaan negeri Sabah.
Sebelum ini, peruntukan itu mencetus kontroversi apabila ada pihak mendakwanya sebagai ‘habuan’ supaya wakil rakyat berpaling tadah, malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa ADUNnya ‘dibeli’ oleh pihak tertentu dengan nilai sama.
Dalam jawapan bertulis Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah pada sidang DUN Sabah Ke-16 pada 22 hingga 25 Mei lalu kepada ADUN Moyog itu diberitahu yang wakil rakyat menyokong GRS diberi peruntukan khas RM3 juta.
Bagaimanapun, Darell yang juga bekas Ahli Parlimen Penampang menggesa wakil-wakil rakyat yang mendapat peruntukan itu memberi kad laporan perbelanjaan agar orang awam mengetahui dana tersebut digunakan secara optimum. – UTUSAN