PASIR SALAK: Bagi memperluaskan dunia keusahawanan tidak kira di bandar mahupun luar bandar, Wanita UMNO Pasir Salak turut tidak melepaskan peluang untuk menggarap setiap inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Ketua Wanita Bahagiannya, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, dalam hal ini masyarakat di luar bandar khususnya golongan wanita harus diberi peluang yang sama untuk memperluas bisnes yang ada demi mengembangkan dunia perniagaan dan meningkatkan ekonomi negara.
“Usahawan di desa rajin-rajin belaka. Mereka hanya memerlukan sokongan dan galakkan dari segi pasaran, latihan dan pembiayaan,” katanya semasa merasmikan program keusahawanan, anjuran bersama Mara dan Usahanita Negeri Perak, baru-baru ini.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenal Dasar Ekonomi Baru (DEB) di mana ia merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua.
Matlamat utamanya ialah untuk menaiktaraf perpaduan negara melalui penstrukturan ekonomi dan penyusunan semula sosio-ekonomi negara yang tidak begitu seimbang. Dasar tersebut ditambah baik kepada Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
“Sehingga kini fokus kerajaan tidak berubah. Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya mempunyai matlamat dan indeks prestasi utama (KPI) tersendiri bagi menjayakan usaha perhebatkan ekonomi negara, kestabilan sosial dan politik melalui pembangunan bandar dan di luar bandar.
“Keusahawanan juga menyumbang kepada pembasmian kemiskinan dan penstrukturan ekonomi, wajiblah untuk kita gilap mereka yang digelar usahawan ini.
“Penggunaan digital dalam talian, perkhidmatan logistik yang canggih… contohnya membolehkan bisnes itu terus berkembang. Pasaran (market place) kini lebih luas, di luar sempadan daerah, negeri dan negara. Bidang keusahawanan dan perniagaan hari ini tidak terhad seperti dahulu.
“Saya yakin dengan peluang-peluang kerajaan yang ditambah baik mengikut kepada arus kemodenan, kita akan menghasilkan lebih ramai usahawan berjaya,” ujarnya. – UTUSAN