KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah perlu memanfaatkan pengunaan media sosial untuk mendekati pengundi muda terutama mereka yang berusia 18 tahun.
Penggunaan media baharu itu adalah alternatif terbaik untuk mendekati generasi muda sekali gus mendengar suara hati mereka menerusi kaedah yang lebih mesra, santai dan tidak terlalu mengikut protokol.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berkata, pergerakan Pemuda perlu memastikan golongan pengundi yang berumur 18 tahun dan ke atas akan terus memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai wadah perjuangan politik mereka.
Maka, pergerakan Pemuda harus menguasi media baharu seperti Facebook, Instrgram dan Tik Tok yang kini menjadi pilihan anak muda dan juga parti lawan untuk menyebar luas pengaruh dan menangkis tohmahan pihak lawan.
“Pergerakan Pemuda perlu lebih agresif menangkis serangan dan tohmahan daripada ‘keyboard warrior’ terhadap parti itu di media sosial, dalam usaha menarik penyertaan lebih ramai golongan muda menyertai UMNO.
“Langkah agresif sebegitu perlu bagi mengelakkan generasi muda percaya sepenuhnya gambaran negatif serta maklumat tidak sahih yang disebarkan oleh pihak lawan hingga menyebabkan anak muda menjauhi UMNO,” katanya semasa pertemuan bersama Pergerakan Pemuda UMNO Sabah semalam.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, penggunaan media sosial penting dalam menyalurkan fakta yang jelas kepada generasi muda agar mereka tidak terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan bagi menjatuhkan parti.
“Media sosial adalah sumber rujukan utama golongan belia pada masa kini jadi, UMNO perlu mengambil pendekatan bersifat menyeluruh dan terancang dalam menyalurkan maklumat berkaitan parti melalui medium tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, sokongan pengundi muda kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kurang memberangsangkan maka, pelbagai pendekatan perlu diambil bagi memastikan golongan muda berpihak kepada UMNO pada pilihan raya yang akan datang.
Bung Moktar berkata, pergerakan Pemuda harus menjadikan media sosial untuk menyelami citarasa dan masalah pengundi muda dengan membantu mereka melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran terutama bagi belia yang masih menganggur.
Hadir sama adalah Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Azhier Farhan Arisin; Penolong Setiausaha UMNO Sabah Alfian Sambas; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah Sufian Abd Karim. –UTUSAN










