Penularan demam denggi membimbangkan  - Utusan Malaysia

Penularan demam denggi membimbangkan 

ZALIHA Mustafa (dua, kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan seorang warga emas semasa menghadiri program Madani Fiat dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Penularan demam denggi di seluruh negara semakin membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 63,966 kes sejak Januari hingga 16 Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia adalah peningkatan sebanyak 129.2 peratus bersamaan 36,052 kes berbanding hanya 27,914 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 45 kematian telah dilaporkan sepanjang tahun ini berbanding hanya 19 kematian pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 136.8 peratus (26 kematian).

“Bagi negeri Terengganu pula, sebanyak 138 kes telah dilaporkan bermula Januari sehingga 16 Julai 2023 berbanding 113 kes pada tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 22.1 peratus.

“Selain itu, hanya satu kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di negeri Terengganu sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up peringkat negeri Terengganu di Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Ditanya usaha kementerian untuk mencegah denggi pula, Dr Zaliha berkata pihaknya telah memperkasakan program sukarelawan komuniti My Champion Combi.

“Sehingga Jun 2023, sebanyak 3,320 pasukan sukarelawan ini telah ditubuhkan dengan penyertaan sebanyak 31,065 orang individu yang terdiri daripada kalangan komuniti di seluruh negara.

“Di Terengganu pula, terdapat 256 lokaliti yang mempunyai sukarelawan My Champion Combi ini dengan keahlian seramai 3,091 orang. Mereka adalah ‘community influencer’ yang akan membantu KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi.

“Sehingga Jun 2023 pula, sejumlah 894 sesi gotong royong yang melibatkan seramai 44,272 kehadiran masyarakat telah dilaksanakan di seluruh negara dan saya berharap usaha sebegini akan diteruskan dan ditingkatkan dari masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya