TANGKAK: Seorang pemandu maut apabila diserang sakit jantung sehingga menyebabkan kereta dipandunya terbabas di Jalan Sawah Ring menghala Bukit Gambir di sini, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Mohd. Farizan Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.36 pagi mengenai kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Perodua Alza yang telah terbabas. Mengikut maklumat awal, mangsa terkena serangan jantung dan kereta terbabas ke bahu jalan dan terbalik disebelah kanan.
“Terdapat empat penumpang lain iaitu satu lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan satu kanak-kanak lelaki di dalam kenderaan tersebut. Kereta dipandu mangsa sekeluarga dari arah Kota Tinggi untuk balik ke Bukit Gambir,” katanya ketika ditemui di Tangkak hari ini.
Tambah Farizan, pemandu lelaki dewasa itu telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan selanjutnya diserahkan kepada pihak polis.
Ujarnya, tiada mangsa yang tersepit dan mangsa yang lain dalam keadaan selamat.
Komander Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II KUP Farid Mohd Sarjan bersama dengan satu jentera LFRT dari BBP Pagoh dengan kekuatan keseluruhan seramai enam orang anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian. Operasi ditamatkan pada kira-kira pukul 2.46 pagi. – UTUSAN