Pelukan, air mata kerinduan Isma Halil - Utusan Malaysia

Pelukan, air mata kerinduan Isma Halil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih pulangkan anak ini bertemu ibunya.”

Demikian luahan isteri penyampai radio, Isma Halil, Norhaslinda Abdul Manaf menerusi satu perkongsian video di media sosialnya hari ini.

Video menyayat hati berdurasi satu minit itu menunjukkan Isma melepas rindu berpelukan dengan ibunya, Salbiah Mat Noor, 88 selepas dua tahun meringkuk dalam penjara.

Isma yang pulang bertemu ibunya di kampungnya di Sepang, Selangor, hari ini berpelukan erat dengan ibunya yang turut mengalirkan air mata kerinduan tanpa henti.

Menerusi perkongsian tersebut, Norhaslinda, 48, turut mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada barisan peguam yang membantu perjuangan suaminya sehingga berjaya dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin lalu.

“Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan ‘team’ (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya.

“Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata semangat.

“Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah,” tulisnya berserta dengan tanda pagar, #TahunBaruBukuBaru.

Isma, 50, sebelum ini meluahkan rasa rindu dan mahu bertemu ibunya sejurus selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan penyampai radio itu daripada pertuduhan mengedar kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan berkenaan.

Pada 21 Februari 2022, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN