Rukun Negara bukan setakat dihafal , tapi hayati dan amal - Utusan Malaysia

Rukun Negara bukan setakat dihafal , tapi hayati dan amal

RUSLAN MUHARAM dan TOH KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rukun Negara harus dinilai semula bagi membolehkan ia kekal relevan dengan keadaan semasa yang memerlukan aspek perpaduan kaum diberi penekanan.

Jika dilihat pada hari ini, banyak isu dibangkitkan boleh menganggu gugat perpaduan di negara ini maka, sekiranya perpaduan itu diterapkan dalam Rukun Negara maka, ia akan menjadi lebih kukuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Datuk Ruslan Muharam berkata, langkah memurnikan semula teras dalam Rukun Negara sangat relevan dengan mengambil kira situasi semasa.

Beliau berkata, kalau dilihat dalam konteks hari ini, ada baiknya pemurniaan dalam Rukun Negara dilakukan seiring dengan nama ‘kerajaan perpaduan’.

“Kita murnikan bukan sahaja dalam slogan Malaysia Madani tetapi, terjemahkan ia dalam Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat sejak sekian lama.

“Memandangkan banyak dibangkitkan yang boleh mengugat perpaduan maka, jika ia diterapkan dalam Rukun Negara maka, ia akan diberi penekanan sewajarnya,” katanya.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, kemunculan parti-parti berasaskan kaum bukan punca yang mengagalkan usaha mencapai perpaduan.

Sebenarnya kewujudan parti berasaskan kaum ini sudah berlaku sejak sekian lama seperti yang boleh dilihat dalam UMNO-Barisan Nasional (BN).

Katanya, parti politik dan suku kaum yang berbeza memang sudah wujud sejak pembentukan Malaysia dan bukannya perkara baharu. Malah, parti politik berasaskan kaum bukan punca menyukarkan perpaduan untuk dicapai.

Menurut beliau, sudah menjadi agenda politik untuk meraih sokongan masyarakat pelbagai kaum dan itu sebabnya parti-parti politik berasaskan kaum tertentu bergabung demi mengukuhkan sokongan terhadap mereka.

“Kalau kita lihat UMNO-Barisan Nasional (BN) telah menjadi kerajaan kira-kira 60 tahun dan UMNO sendiri bertunjangkan orang Melayu. Namun, UMNO tidak mampu bersendirian dan masih memerlukan sokongan MIC dan MCA sebagai rakan kerana mereka tahu Malaysia negara berbilang kaum.

“Kita tidak mampu untuk berjuang bersendirian berasaskan satu-satu kaum dan agama sahaja kerana negara ini mempunyai rakyat yang berbilang kaum,” katanya.

 PETALING JAYA: Rukun Negara merupakan ideologi negara melebihi 50 tahun namun, ia hanya dihafal oleh masyarakat dan tidak diamalkan dalam kehidupan seharian.

 Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ideologi negara ini tidak boleh hanya berada di tahap ingat dan hafal sahaja tetapi harus bergerak ke tahap yang lebih tinggi iaitu memahami dan mengamalkannya.

 “Ia masih relevan untuk dijadikan pedoman walaupun sudah berusia tetapi kefahaman tersebut harus diajar dari usia yang muda lagi.

 “Kita tidak mempunyai sukatan pelajaran tertentu yang memfokuskan mengenai Rukun Negara, ini menjadikan rakyat tidak menghayatinya.

 “Sudah sampai waktunya untuk kita lihat perubahan, kerajaan harus memastikan Rukun Negara diterapkan dalam sukatan pelajaran dari peringkat tadika lagi.

 “Sebagai contoh, di peringkat tadika pelajar hanya menghafal, di peringkat sekolah pelajar harus memahaminya, seterusnya di peringkat universiti mereka harus menganalisisnya.

 “Di Indonesia, seperti Rukun Negara mereka juga mempunyai lima Prinsip Nasionalisme, perbezaanya dengan negara kita adalah mereka bukan sahaja mengetahuinya tetapi turut mengamalkannya.

 “Pelajar luar negara yang belajar di Indonesia turut diwajibkan untuk mengetahuinya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya

 Semalam, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2023, Datuk Dr.Abdul Monir Yaacob berkata, isu perpaduan akan sentiasa hidup selagi ada parti-parti politik berasaskan kaum di negara ini.

 Walaupun Malaysia mempunyai Rukun Negara, namun prinsipnya yang sepa tutnya menjadi kunci keharmonian rakyat berbilang kaum masih tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

 Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, tidak dapat dinafikan bahawa antara punca perpaduan negara tidak utuh adalah disebabkan parti politik yang berasaskan kaum.

 “Perkara ini tidak baik kerana mereka hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing dan bukan memperjuangkan keseluruhan rakyat Malaysia.

 “Rakyat boleh beralih kepada parti politik yang tidak bersifat perkauman namun, kesudahannya sama sahaja.

 “Sebagai contoh, DAP ditubuhkan pada awalnya untuk pelbagai kaum tetapi kini dilihat seperti didominasi oleh kaum Cina.

 “Sama seperti Parti Gerakan Malaysia (GERAKAN), mereka ditubuhkan untuk pelbagai kaum tetapi kini dilihat sebagai parti bukan melayu kerana didominasi oleh kaum Cina dan India.

 “Beberapa parti telah melakukan percubaan untuk menyatukan semua kaum, tetapi pada akhirnya ia menjadi parti satu etnik juga,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya