BELASUNGKAWA
PETALING JAYA: Datuk Pahamin Abdul Rajab meninggalkan legasi gemilang dalam sektor awam dan swasta di negara ini selepas menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 77 tahun.
Allahyarham cukup dikenali sebagai salah seorang individu yang mengasaskan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pada September 2001 apabila beliau mengatur pertemuan antara Tan Sri Tony Fernandes dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.
Atas nasihat Dr. Mahathir, syarikat penerbangan sedia ada iaitu AirAsia Sdn. Bhd. diambil alih daripada DRB-Hicom Berhad menerusi Tune Air Sdn. Bhd., mendorong Tony mengatakan: “Pahaminlah yang telah menukar impian kami menjadi kenyataan”.
Ia menunjukkan Pahamin adalah individu berpengaruh ketika itu, pengaruh yang dibinanya sepanjang 31 tahun beliau berkhidmat dengan kerajaan, selain sering menarik perhatian ramai dengan menggayakan pakaian unik seperti bertopi koboi dan memakai bowtie dalam majlis atau acara tertentu.
Dilahirkan pada 23 Februari 1946 di Kampung Badak, Bachok, Kelantan, Pahamin memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Badak antara 1952 hingga 1956, diikuti Sekolah Inggeris Kamil Pasir Puteh antara 1957 hingga 1959, Sekolah Menengah Kamil di Pasir Puteh dari 1960 hingga 1964 sebelum menamatkan persekolahan di Kolej Sultan Ismail (kini Maktab Sultan Ismail) di Kota Bharu, Kelantan pada 1966.
Beliau meraih Ijazah Sarjana Muda Sastera bidang Sejarah (Perhubungan Antarabangsa) di Universiti Malaya pada 1970 sebelum memulakan kerjayanya di Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1970. Ini diikuti dengan Hasil Dalam Negeri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1972 dan Pegawai Kemajuan Negeri Sembilan pada 1973 sebelum dilantik Pengarah Projek Khas, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri pada 1976.
Pada 1977 hingga 1978, Pahamin melanjutkan pengajian Sarjana Sastera dalam Dasar dan Pentadbiran Awam jurusan Pembangunan Ekonomi di Universiti Wisconsin di Madison, Amerika Syarikat, sebelum dilantik sebagai pegawai Kemajuan Negeri Kelantan pada 1979.
Pahamin kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada 1983 sebelum memegang jawatan Setiausaha Bahagian Kewangan di Kementerian Pertanian pada 1986 diikuti setiausaha di Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 1989.
Beliau meneruskan perkhidmatannya di luar negara sebagai Menteri Kaunselor kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom pada 1990, tahun yang sama beliau meraih ijazah Undang-undang dari Universiti London.
Ini bagi mengejar cita-citanya menjadi peguam selepas bersara, malah meraih Diploma pascasiswazah dalam Undang-undang dan Amalan Syariah di Universiti Islam Antarabangsa pada 1994.
Pahamin kembali ke tanah air dua tahun kemudian dan berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan pada 1994, yang menyaksikan pembaharuan terhadap sekolah memandu, lesen dan ujian memandu.
Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 1998 dan memperkenalkan undang-undang baharu iaitu Akta Cakera Optik 2000 bagi tangani isu cetak rompak serta menubuhkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Pahamin bersara pada 2001 selepas 31 tahun berkhidmat dengan kerajaan dan memulakan kerjaya baharunya sebagai peguam pada 2002, serta membuka firma bersama anaknya, Chempaka Emalin, isteri kepada artis Azhar Sulaiman.
Selepas membantu mengasaskan AirAsia pada 2001 dan menyaksikan syarikat penerbangan itu mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga memasuki Bursa Saham Malaysia, Pahamin membuat keputusan bersara sebagai pengerusi pada 2008, menutup kariernya sebagai seorang pegawai kerajaan, peguam dan tokoh korporat. –UTUSAN










