Pagar elektrik atasi ancaman gajah liar - Utusan Malaysia

Pagar elektrik atasi ancaman gajah liar

ANGGOTA Perhilitan memasang pagar elektrik di SK Pos Perwor, Lasah di Sungai Siput bagi mengatasi ancaman gajah liar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Masalah pencerobohan gajah liar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah bakal diatasi dengan pemasangan pagar elektrik.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pagar elektrik itu dipasang di sekeliling sekolah dan asrama pada jarak dianggarkan 900 meter.

Katanya, penyelenggaraan pagar elektrik itu akan dilakukan pihak sekolah dan penduduk setempat manakala Perhilitan bertindak sebagai penasihat teknikal dan latihan.

“Pemasangan pagar elektrik ini adalah langkah bagi mengatasi gangguan gajah liar yang menceroboh masuk kawasan sekolah hingga merosakkan bangunan dan kelengkapan seperti berlaku pada Jun lalu.

“Kerja-kerja pemasangan yang bermula Isnin lalu telah pun selesai semalam dan diharap ia menjadi langkah efektif bagi menangani isu ini,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Yusoff berkata, tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu kawasan sekolah bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Ini kerana katanya, kawasan sekolah itu yang terletak berhampiran Hutan Simpan Piah, dipercayai mempunyai populasi gajah liar melebihi 17 ekor.

“Penduduk diingatkan untuk melaporkan segera kehadiran haiwan liar ini kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menerusi laporan media 10 Jun lalu, kira-kira enam ekor gajah liar memasuki kawasan SK Pos Perwor mengakibatkan kerosakan di bahagian tingkap kelas pra sekolah dengan jeriji besi bengkok dan cermin pecah.

Kejadian sekitar pukul 2 pagi itu turut menyebabkan kelengkapan dapur milik kelas itu turut musnah selain pasu pecah serta tanaman pokok kelapa dan pisang dirosakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN