PETALING JAYA: Malaysia Airlines dan Tourism New Zealand memeterai kerjasama strategik selama dua tahun bagi merangsang permintaan pelancongan ke New Zealand melalui inisiatif pemasaran bersepadu, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan ketibaan pelawat dan keterlihatan destinasi di pasaran utama.
Kerjasama ini menghimpunkan kedua-dua organisasi untuk mempromosikan keunikan New Zealand melalui kempen bersepadu yang menyasarkan pelancong berasaskan pengalaman, termasuk golongan profesional muda, pelancong berkumpulan, pencinta alam semula jadi serta penggemar aktiviti lasak.
Kempen berkenaan akan mengetengahkan landskap semula jadi yang menakjubkan, kepelbagaian budaya, layanan mesra serta pelbagai tarikan termasuk pelancongan kesihatan, perjalanan pesisir pantai, penerokaan kulinari dan aktiviti pengembaraan.
Sebagai syarikat penerbangan premium yang menyediakan penerbangan terus Kuala Lumpur–Auckland, Malaysia Airlines terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelancong ke destinasi popular dunia itu.
Dengan operasi 10 penerbangan mingguan menggunakan pesawat A330neo, penumpang ditawarkan keselesaan lebih baik, ketersambungan lebih lancar serta pengalaman perjalanan lebih efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, kerjasama itu mencerminkan hubungan erat Malaysia dan New Zealand yang diperkukuh melalui pelancongan, perdagangan dan pertukaran rakyat.
“Malaysia Airlines komited untuk terus menghubungkan Asia dengan New Zealand melalui perkhidmatan penerbangan terus serta pengalaman hospitaliti premium yang selari dengan budaya ‘manaakitanga’ yang menekankan layanan mesra dan prihatin,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Antarabangsa Tourism New Zealand, Angela Blair berkata, New Zealand terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari Malaysia dengan mencatatkan 32,200 ketibaan dalam tempoh setahun sehingga Februari 2026, meningkat 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan kapasiti penerbangan Malaysia Airlines di laluan Kuala Lumpur–Auckland yang membuka lebih banyak peluang perjalanan bermakna ke negara tersebut,” katanya. – UTUSAN










