Mimpi ngeri bermula, penghuni diusir - Utusan Malaysia

Mimpi ngeri bermula, penghuni diusir

Walaupun menerima gaji kompetitif, penduduk bandar terpaksa berhadapan kos sara hidup tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas dua tahun menunggu untuk diberi penempatan baharu, kira-kira 150 orang penghuni Pangsapuri Tanjung Aru kembali berdepan mimpi ngeri apabila menerima arahan untuk berpindah keluar.

Wakil Jawatankuasa Khas Bertindak Penghuni Pangsapuri Tanjung Aru, Dewi Awang, 51, berkata, arahan pengusiran dikeluarkan sebelum ini de­ngan alasan bangunan di situ tidak lagi selamat diduduki .

Namun jelasnya, ia ditangguhkan buat sementara waktu setelah mendapat arahan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada tahun lalu.

Beliau berkata, Masidi telah meminta Lembaga Pemba­ngunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berhenti mengusir keluar penghuni pangsapuri di sini sehingga penempatan baharu disediakan.

Kini daripada 315 pemilik rumah, sebahagian penduduk telah berpindah keluar maka, tinggal 150 lagi pemilik yang masih berada di situ.

“Jadi kami harap suara dan rintihan kami didengar untuk diberikan penempatan baharu. Kami berharap diberi penempatan baharu di PPR Kibabaig kerana difahamkan di situ sahaja ada kekosongan rumah.

“Ada sebahagian penduduk ditawarkan berpindah ke PPR Gayang Ria tapi ia terlalu jauh dari tempat kerja dan sekolah anak-anak. Bukan semua peng­huni di sini mempunyai ken­deraan sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya memaklumkan Ketua Menteri telah berjanji membawa isu tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di peringkat Persekutuan.

Keputusan perbincangan dengan KPKT akan diketahui selepas 21 Julai ini dan penghuni berharap rintihan mereka mendapat perhatian kerajaan dan dibenarkan berpindah ke PPR Kibabaig.

Dewi berkata, pada hujung tahun lalu, LPPB mengeluarkan kenyataan penduduk di rumah pangsa itu bersetuju berpindah keluar selepas Aidiladha.

“Kami agak terkejut membaca kenyataan itu kerana sejak dari awal kami menyatakan kesediaan berpindah dengan syarat diberi penempatan baharu.

“Bukan semua penduduk di sini mampu menyewa rumah yang mahal dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini. Jika dipindahkan ke PPR, kami masih mampu membayar sewa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN