Media pulang hampa, King Sing tidak muncul di SPRM

Media pulang hampa, King Sing tidak muncul di SPRM

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing disahkan tidak hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Mengikut laporan akhbar semalam, Ahli Parlimen Bintulu itu sepatutnya hadir ke Suruhanjaya itu bagi memberi keterangan berhubung dakwaan kononnya wujud amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lebih 15 pengamal media pelbagai agensi mula berkumpul  di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM sejak pukul 9 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan itu.

Mereka bagaimanapun hampa apabila King Sing tidak muncul untuk hadir memberi keterangan sebelum kesemuanya beredar meninggalkan bangunan SPRM sekitar pukul 5 petang tadi.

Sumber berkata, King Sing tidak hadir memberi keterangan kepada SPRM hari ini, namun enggan menjelaskan bila pertemuan selanjutnya akan dilakukan.

“Bukan hari ini,” katanya ketika dihubungi menerusi panggilan telefon petang tadi.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan King Sing akan hadir memberi keterangan kepada SPRM hari ini berhubung dakwaan rasuah itu.

Azam berkata, turut serta dalam pertemuan itu nanti iaitu pelancong dari China yang didakwa menjadi mangsa kepada perlakuan rasuah.

Pada Jumaat lalu, King Sing mengakui beliau merupakan individu yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di ruang ketibaan antarabangsa KLIA.

Bagaimanapun, beliau menafikan tuduhan bahawa kekecohan itu timbul kerana beliau menuntut JIM membebaskan pelawat dari China.

Sebaliknya, kata beliau, kehadirannya di KLIA membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Selain itu, King Sing turut menggesa SPRM melakukan operasi besar-besaran di KLIA bagi membongkar realiti sebenar yang berlaku di pintu masuk utama negara.

Beliau mendakwa menerima maklumat ada pegawai imigre­sen yang meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya