MCCF saran tubuh Task Force Polis Pelancong atasi budaya rasuah - Utusan Malaysia

MCCF saran tubuh Task Force Polis Pelancong atasi budaya rasuah

TIONG King Sing mengadakan tinjauan ke KLIA, Sepang baru-baru ini. - GAMBAR IHSAN MOTAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu Task Force Polis Pelancong di semua pintu masuk negara bagi menangani budaya rasuah yang didakwa.

Pengerusi MCCF, Datuk Halim Ishak berkata, langkah itu adalah untuk membantu Jabatan Imigresen yang kurang berkesan dalam menghapus aktiviti-aktiviti sebegitu sejak sekian lama.

“Ini adalah untuk menghapus dan mencegah aktiviti sedemikian yang merosakkan imej negara serta akan membantu meyakinkan pelancong luar serta memulihkan imej industri pelancongan negara.

“Isu ketirisan dan rasuah yang melibatkan segelintir pegawai dan anggota Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukanlah perkara baru.

“Selain daripada pelancong-pelancong menurut makluman orang ramai, pendatang asing tanpa izin (PATI) juga bebas keluar masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan beliau menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri dan menjelaskan pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumentasi lengkap.

Pada masa sama, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu mendedahkan, terdapat pegawai imigresen meminta wang sekiranya pelancong asing ditahan ingin dilepaskan. 

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal. Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,” katanya.

Mengulas lanjut, Halim berkata, MCCF amat menyokong tindakan yang melibatkan menteri itu di KLIA.

“MCCF menyarankan agar mereka yang terlibat dan mengkhianat amanah agensi dan Jabatan Imigresen di ambil tindakan tegas hingga buang kerja. 

“Masih ramai lagi pegawai dan anggota jabatan itu yang berintegriti dan mampu menjaga keselamatan pelancong dan pintu masuk negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN