Mansuh tol Sungai Nyior tertakluk bawah kuasa Kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Mansuh tol Sungai Nyior tertakluk bawah kuasa Kerajaan Pusat

KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini berkenaan desakan Parti Gerakan Pulau Pinang yang menuntut janji DAP memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior di Butterworth.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sebarang keputusan untuk memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior, di Butterworth dekat sini tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Pusat memandangkan terdapat perjanjian antara Kerajaan Pusat dengan syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemansuhan tol berkenaan memerlukan penelitian dan pertimbangan mendalam kerana membabitkan kepentingan banyak pihak serta melibatkan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi tersebut.

CHOW KON YEOW

“Saya rasa ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat yang ada perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya itu, sekiranya ia dibatalkan maka isu pampasan timbul.

”Jadi bagi kerajaan negeri saya percaya ia perlu dipertimbangkan oleh kementerian yang berkenaan untuk melihat apa pampasan yang akan diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Batu Gantung, di sini hari ini.

Semalam, Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum PRU-12 (2008).

Plaza Tol Sungai Nyior mula beroperasi pada Januari 2007 dan pada Oktober 2015, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit antara 50 sen sehingga RM1.60.

Menurut Kon Yeow, sebelum ini pemansuhan tol di beberapa kawasan lebuh raya pernah dilaksanakan dan ia juga melibatkan isu pampasan kepada syarikat konsesi terlibat.

”Kalau ditamatkan (perjanjian) sebelum tamatnya konsesi ia melibatkan kerugian bagi syarikat yang sudah melabur bagi membina lebuh raya itu.

”Berapa jumlah pampasan yang perlu dibayar juga kita tidak tahu kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya adakah pemansuhan tol Plaza Sungai Nyior itu akan dimasukkan di dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN), Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, soal manifesto PRN masih belum dimuktamadkan setakat ini.

”Kita ambil maklum mengenai isu-isu yang dimainkan (parti pembangkang) termasuk soal pemansuhan tol ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya