PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membidas kerajaan susulan pendakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di bawah Akta hasutan.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, mereka menolak penggunaan Akta Hasutan ke atas Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) tersebut.
Katanya, terdapat peruntukan lain untuk menguruskan isu-isu berbangkit yang berkait dengan perihal tersebut, malah satu undang-undang baharu juga boleh digubal sekiranya perlu dengan perbincangan melibatkan semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan.
“Pertamanya kami menolak kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi, ia amat tidak matang dan dangkal dibuat di atas pentas ceramah politik. Muda dan PSM menjujung Perlembagaan Persekutuan menjadi batu asas kepada sistem demokrasi Malaysia.
“Walaubagaimanapun, kami menolak akan penggunaan Akta Hasutan ke atas beliau, serta memanggil untuk akta ini dimansuhkan. Akta yang bersifat ‘draconian’ dan lapuk ini.
“Akta yang mula-mula digubal oleh penjajah British untuk mengekalkan kuasa mereka wajar dimansuhkan. Malah United Kingdom sendiri memansuhkan akta ini di negara mereka sejak tahun 70-an,” katanya menerusi kenyataan bersama, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.
Muhammad Sanusi, 49, yang memakai kemeja putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa melakukan perbuatan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan mempertikai Anwar berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini, pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.
Oleh itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kenyataan tersebut, Muda dan PSM menyeru kerajaan memansuhkan Akta Hasutan seperti mana yang tertulis dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Kita tidak boleh hanya menjadi idealis hanya ketika dalam pembangkang kemudian meninggalkan prinsip bila mendapat kuasa.
“Muda dan PSM sekali lagi memanggil untuk Akta Hasutan dimansuhkan selari dengan janji reformasi yang diperjuangkan selama ini. Apa guna berunding untuk mendapatkan kuasa kalau ianya tidak digunakan melaksanakan perubahan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak wajar dijadikan bahan dalam ucapan-ucapan dan perbahasan politik terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.
Perdana Menteri berkata, meskipun beliau berpendirian mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan dalam hal-hal berkaitan kempen politik, namun menegaskan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan.
“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.
“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, hari ini. –UTUSAN









