ALOR GAJAH: Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) Melaka membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan penamatan surat hasrat (letter of intent) atau LOI yang ditawarkan kepada Konsortium Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini, semalam oleh Naib Pengerusi MKM negeri, Hazmi Nabil Mahmad Faisaal.
Hazmi Nabil berkata, ia dibuat susulan kenyataan seorang ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan baru-baru ini yang mendedahkan, konsortium yang dibentuk antara Berjaya dan Naza telah membuat tawaran bersama bagi projek perbekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan (Projek Fleet) yang didakwa dikuasai oleh Spanco Sdn. Bhd. selama 25 tahun.
Menurutnya, Projek Fleet telah dianugerahkan kepada Konsortium Berjaya-Naza melalui LOI, namun Kerajaan Malaysia sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri telah membatalkan surat anugerah tersebut tanpa sebarang alasan.
Beliau berkata, Projek Fleet kemudiannya telah dianugerahkan semula kepada Spanco Sdn. Bhd.
“Susulan daripada pendedahan Vincent, saya di MKM berasa polis perlu menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.
“Kami menggesa polis untuk memulakan siasatan tentang perkara ini kerana kenyataan Vincent mendedahkan bahawa Konsortium Berjaya-Naza menang tender itu kerana tawaran mereka adalah yang termurah di antara semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Alor Gajah.
Sebelum ini, Vincent mendedahkan dirinya menyaman Kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada Konsortium Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza selepas Muhyiddin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Vincent turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada Spanco Sdn. Bhd. adalah RM700 juta lebih tinggi.
Tambah Hazmi Nabil, pihaknya berpandangan kemungkinan berlaku isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Muhyiddin sehingga Kerajaan Malaysia membatalkan tender paling murah berjumlah RM600 juta berbanding syarikat lain.
“Saya juga merujuk kepada pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Parlimen pada 24 November 2021 yang mempersoalkan mengapa kontrak itu diberikan kepada Spanco Sdn. Bhd. walaupun ia RM600 juta lebih tinggi daripada syarikat kedua.
“Kontrak dengan Spanco Sdn. Bhd. bernilai RM4.6 bilion manakala dengan Berjaya-Naza pula bernilai RM3.9 bilion.
“Perbezaan harga tawaran RM664 juta ini membuatkan kami berasa ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada Spanco Sdn. Bhd.,” ujarnya. – UTUSAN










