NARATHIWAT (THAILAND): Peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang terbuka luas menyebabkan rakyat Thailand terutama golongan muda mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia.
Rata-rata golongan itu yang ditemui Utusan Malaysia mengakui, kewujudan peluang pekerjaan di sektor perladangan, makanan dan minuman serta buruh kasar menyebabkan mereka berkelana ke Malaysia.
Seorang penduduk Waeng, Ismael Jusoh, 35, berkata, peluang pekerjaan dan pendapatan di negara ini yang agak rendah memberi ‘tekanan’ kepadanya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, situasi itu menyebabkannya mengambil keputusan ke Malaysia bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga.
“Sebelum ini saya sudah bekerja di Malaysia dan pulang semula ke Thailand selepas wabak Covid-19 melanda. Sejurus selepas wabak Covid-19 reda dan pintu sempadan antarabangsa dibuka, saya kembali semula ke Malaysia untuk bekerja.
“Saya suka Malaysia kerana memberi peluang kepada kami untuk bekerja dan mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ismael berkata, sepanjang bekerja sedekad membanting tulang di Malaysia, dia dapat menabung dan menghantar wang kepada keluarganya.
Katanya, dia dapat menghantar 3778 bath atau RM500 sebulan untuk kegunaan keluarganya selain dapat membantu keluarga membaik pulih rumah mereka di kampung.
Penduduk Sukhirin, Usman Masamae, 30, berkata, hasil bekerja sebagai tukang masak di Malaysia, dia mampu membina rumah untuk keluarganya di sini.
“Saya sudah 10 tahun di Malaysia dan bekerja sebagai tukang masak. Majikan juga baik apabila membayar upah tepat pada waktunya.
“Saya suka tinggal di Malaysia kerana negara aman termasuk rakyatnya yang baik hati,” ujarnya. – UTUSAN










