KOTA BHARU: Seorang penganggur direman tujuh hari selepas disyaki menikam bekas isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Darul Naim, Pasir Tumboh di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu bermula kelmarin sehingga Sabtu ini.
Suspek turut cedera parah pada perut selepas bertindak menikam dirinya sebaik sahaja membunuh mangsa yang berusia 42 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah.
“Suspek yang parah pada bahagian perut kini stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Muhamad Zaki memberitahu, suspek turut ditidurkan bagi memudahkan urusan rawatan di HRPZ II.
Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki bagaikan dirasuk apabila menikam bekas isterinya sebanyak 13 kali hanya kerana cemburu selepas mengetahui wanita itu mempunyai teman lelaki dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim, Kubang Kerian di sini.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek pula parah pada bahagian perut kerana bertindak menikam dirinya sendiri. – UTUSAN










