KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang hilang selama dua hari ditemukan tidak bernyawa selepas dipercayai terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 16 Jalan Bandar Penawar-Punggai di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemukan di kawasan semak berdekatan bahu jalan kira-kira pukul 8.30 pagi hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kereta yang terbabas di lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah Proton Waja dan mayat mangsa turut berada di tempat kejadian. Pemandu kereta berusia 42 tahun itu dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dari Bandar Penawar menghala ke Punggai.
“Mangsa dipercayai mengantuk lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke kawasan semak di bahu kiri jalan, kira-kira 40 meter ke dalam, apabila sampai di lokasi berselekoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussin berkata, hasil soal siasat bersama waris menyatakan mangsa telah dua hari tidak pulang ke rumah.
Katanya, waris dan beberapa orang awam telah keluar mencari mangsa dalam tempoh tersebut.
“Tiada unsur-unsur jenayah ditemukan dalam siasatan kes dan mangsa terbabas sendiri semasa memandu kenderaan. Namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan punca sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN