HULU TERENGGANU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang manakala lapan individu lagi terselamat setelah dua buat bot dinaiki mereka bertembung di Sungai Pertang, Tasik Kenyir dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian berkenaan, Mohd. Faisal Derahman, 42, dari Kampung Pasir Dua, Hulu Terengganu dipercayai terjatuh dari bot dan kemudiannya tenggelam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd. berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.05 pagi.
“Sejurus menerima laporan, empat anggota bergegas ke lokasi kejadian sebelum disusuli sepasukan anggota PPDA Kuala Terengganu.
“Kemalangan melibatkan dua buah bot. Sebuah bot dinaiki seramai tujuh individu kesemuanya selamat.
“Sebuah lagi bot dinaiki mangsa dikhuatiri hilang bersama seorang penumpang yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” katanya.
Ujarnya lagi, operasi mencari dan menyelamat mangsa dikhuatiri hilang masih giat dijalankan. –UTUSAN