PETALING JAYA: Polis giat mengesan seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di platform LRT, Stesen Maluri, Cheras, dekat sini, semalam.
Satu laporan polis dibuat pada pukul 8.40 pagi daripada seorang wanita tempatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, hasil semakan mendapati, pengadu yang berusia 27 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Cheras pada hari kejadian.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.
Sementara itu, Rapid Rail dalam kenyataan meluahkan kekecewaan berhubung gangguan seksual dihadapi seorang wanita yang tular di Stesen LRT Maluri itu.
Katanya, tindakan menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen akan dilakukan segera bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan mengelakkan perkara sama daripada berulang.
“Ketika kejadian, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek.
“Pasukan Polis Bantuan Prasarana bekerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menyiasat dan mengesan suspek sehingga ditangkap,” jelasnya.
Terdahulu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dipeluk secara tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali di stesen LRT Maluri
Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi terbabit menyelamatkan wanita itu dalam kejadian pada pukul 7.58 pagi. – UTUSAN