KOTA KINABALU: Arahan keluar berpindah yang tidak diselangi dengan penempatan baharu akan mengakibatkan lebih 2,000 penduduk di tiga kawasan merempat tanpa tempat tinggal.
Ia melibatkan kira-kira 300 penduduk di Pangsapuri Tanjung Aru manakala lebih 2,000 penduduk di perumahan pekerja Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang dan terbaharu penduduk Taman Puri Warisan, Inanam diarah berpindah.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri seharusnya mempunyai langkah alternatif sebelum mengarahkan penduduk berpindah keluar.
“Kerajaan tidak boleh hanya mengeluarkan notis berpindah, kita tidak mahu penduduk terlibat merempat.
“Adakah kerajaan negeri terdesak menghalau mereka? Sepatutnya kita lebih berperikemanusiaan,” katanya.
Jelasnya, penempatan yang sudah berusia 30 tahun seharusnya mempunyai cara penyelesaian yang baik dan bukan sekadar keluar notis berpindah.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, arahan berpindah kepada penghuni rumah pangsa itu perlu diselesaikan dengan cara yang baik.
Jelas beliau, dari pandangan mata kasar sebagai seorang bekas Menteri Perumahan di Persekutuan, keadaan bangunan di Pangsapuri Tanjung Aru tidak begitu bahaya dan masih selamat untuk dihuni.
“Keadaan di sini bukan daif sangat untuk mereka berpindah segera. Mereka masih boleh tinggal di sini namun, perlu pembaikan dan penyelenggaraan dilakukan. Malah, penghuni di sini juga masih membayar sewa kepada kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB),” katanya. – UTUSAN










