Lagi ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah diburu SPRM

Lagi ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah diburu SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa lagi individu sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai berkata, pihaknya sedang memburu beberapa individu yang disyaki terbabit dengan rangkaian sindiket berkenaan.

“Kita percaya aktiviti yang dijalankan oleh sindiket berkenaan sudah lama kira-kira sejak lebih lima tahun lalu, siasatan lebih mendalam sedang dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

Sumber berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

Katanya, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam Khamis ketika hadir memberi keterangan.

Suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Isnin.

Ekoran penahanan itu, sumber memaklumkan, Bahagian Operasi Khas SPRM turut membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN