Kugiran Masdo tempelak aksi bercium The 1975 - Utusan Malaysia

Kugiran Masdo tempelak aksi bercium The 1975

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN vokalis kumpulan antarabangsa, The 1975, Matty Healy yang bukan sekadar menghina kerajaan Malaysia, malah mencium gitarisnya sempena Festival Good Vibes minggu lalu mencuri perhatian ramai pihak.

Berkongsi pandangan tentang kejadian itu adalah anggota Kugiran Masdo yang berpengalaman selama 10 tahun beraksi di atas pentas depan khalayak yang ramai.

Kata vokalisnya, Ali Sariah, tindakan Healy bukan sahaja tidak wajar, malah melanggar batas dan norma budaya masyarakat di Malaysia yang masih menjaga adab dan kesopanan.

“Setiap penyanyi kena ikut garis panduan yang ditetapkan. Malah, pihak penganjur terlebih dahulu menerangkan kepada mana-mana artis tentang yang boleh dilakukan dan yang tidak semasa membuat persembahan.

“Kami, sepanjang 10 tahun pengalaman membuat persembahan secara live akan pastikan tiada aksi-aksi luar batas dan melanggar peraturan dibuat ketika menyanyi depan khalayak.

“Kita nak berhibur dan berseronok, tetapi jangan langgar had dan batas tertentu. Berhiburlah dalam keadaan terkawal,” katanya usai konsert DFP Present: Kugiran Masdo pada Sabtu lepas.

Kugiran Masdo melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya kumpulan itu diberi penghormatan beraksi di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Pemain bass, Ahmad Azanol Khushairie atau Putu Ceri menyifatkan persembahan itu sebagai antara pencapaian terindah buat seluruh anggota band berkenaan.

“Sambutan luar biasa. Kami tidak sangka sampai ke tahap itu sambutan diberikan peminat. Ada yang datang jauh, dari Singapura dan Brunei serta Denmark.

“Kami juga seronok kerana penonton bukan sahaja dalam kalangan generasi muda, malah yang berusia juga ada,” ujarnya.

Kira-kira 900 penonton hadir menyaksikan konsert mereka malam Sabtu lepas. Kata Ali, persembahan yang disajikan bersifat eksklusif dan diluar kebiasaan antara hadiah kepada peminat yang hadir.

“Ini persembahan kami yang paling luar biasa. Jujur cakap, sebenarnya kami tak puas.

“Apa yang kami persembahkan di DFP bukan persembahan biasa. Kami belum pernah buat seperti ini.

Arrangement berbeza dan setiap lagu dipersembahkan dalam bentuk akustik. Ia benar-benar mewujudkan suasana berbeza dengan persembahan kami sebelum ini,” katanya lagi.

Ibarat kembali ke zaman lama, keunikan muzik dan lagu band tersebut berjaya membawa penonton menjengah sekitar era kegemilangan muzik sekitar tahun 60-an dan 70-an.

“Muzik kami memang di inspirasikan muzik era 60-an. Ada beberapa bunyi dari muzik ketika zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kami jadikan sebagai intro di awal persembahan.

“Kami tak mahu muzik pada era itu hilang ditelan zaman. Sebab itu sebelum ini kami banyak membawakan lagu-lagu era 60-an.

“Kami rasa seperti diamanahkan apabila Datuk A. Rahman Hassan meminta kami meneruskan legasi yang ditinggalkan penyanyi-penyanyi zaman tersebut. Kami akan teruskan legasi ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN