KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan Notis Hadir mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011) kepada empat buah syarikat selepas mereka mengumumkan pergerakan harga susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kesemua empat syarikat itu akan dipanggil minggu ini bagi mendapatkan penjelasan susulan tindakan tersebut.
“Pada 1 Julai lalu kita telah memanggil dua syarikat iaitu sejuk beku dan bongkah ais untuk memberi penjelasan dan mereka telah bersetuju menangguhkan pergerakan harga sehingga ke satu tarikh.
“Kesemua syarikat terlibat ini hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh KPDN ke atas 281 premis melibat 1,292 Unit Penyimpanan Stok (SKU),” katanya selepas Sesi Libat Urus bersama Persatuan Peniaga Makanan Kelantan, di sini hari ini.
Armizan berkata, semua jumlah itu hasil Op Kesan 4.0 yang dijalankan KPDN bermula 1 Julai hingga semalam.
Katanya, sepanjang tempoh itu 16 aduan berkaitan pergerakan harga diterima.
“KPDN telah menggariskan empat elemen iaitu senarai barang dan bentuk perkhidmatan, senarai perniagaan dan syarikat berdaftar, tarikh pendaftaran dan pergerakan harga serta caj, margin pergerakan dan pencatutan.
“Oleh itu, semua premis perniagaan dan syarikat dinasihatkan untuk mengambil kira semua elemen penilaian sebelum melakukan sebarang pergerakan harga,” ujarnya. – UTUSAN










