Konsert Slam NurKasih tanda curahan sayang kepada peminat

Konsert Slam NurKasih tanda curahan sayang kepada peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AURA kumpulan Slam yang ditunjangi oleh Zamani, Shah, Eddie, Man dan Lili seakan terus memberi semangat dan suntikan buat peminat tegar mereka untuk menyokong perjalanan seni kumpulan yang sudah bertapak lebih tiga dekad ini. 

Justeru, tidak hairanlah apabila setiap kali mengadakan persembahan pentas, kumpulan Slam sentiasa mendapat sambutan hangat daripada peminat setia mereka.

Kejayaan merealisasikan konsert sempena ulang tahun ke-30 di Singapura pada 10 Jun lalu, wajar dijadikan penanda aras untuk mereka meneruskan momentum tersebut di pentas Zepp, Kuala Lumpur pada 6 Ogos nanti kerana konsert ini bukan sekadar ‘melengkapkan jadual’ semata, namun lebih kepada mengubat kerinduan peminat di tanah air yang dahagakan kemunculan mereka.

“Setiap kali beraksi di pentas kami memang akan memberikan yang terbaik buat peminat. Bukan itu sahaja, malah seringkali juga kami akan lakukan beberapa kejutan seperti konsep persembahan, penataan cahaya, montaj dan lain-lain lagi. 

“Itu tidak termasuk dengan artis undangan dan sessionist yang akan mengiringi persembahan kami,” ujar Shah ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Slam Nurkasih di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Biarpun masih terlalu awal untuk memutuskan konsep yang ingin dipersembahkan pada malam konsert nanti, namun dia yakin keupayaan dan komitmen anggota kumpulan ini yang dilihat mampu memberi kejutan serta impak melebihi 100 peratus berdasarkan apa yang disajikan oleh mereka pada persembahan di Singapura, baru-baru ini.

“Buat masa ini kami masih dalam proses menyusun senarai lagu dan dalam tempoh sebulan sebelum konsert barulah kami akan mulakan sesi latihan, termasuk melakukan arrangement yang sesuai bagi setiap karya yang ingin dipersembahkan,”

“Konsert kali ini diberi  judul ‘NurKasih’ yang merupakan salah satu judul lagu hits kumpulan Slam, ia membawa maksud curahan kasih sayang kami kepada peminat yang selama ini tidak putus-putus menyokong serta memberikan cahaya (Nur) kepada kami” ujarnya lagi.

ZAMANI ASET SLAM

Keyakinan tersebut didokong dengan faktor kesihatan Zamani yang dilihat semakin pulih dan stabil ketika ini. 

Merupakan aset utama kumpulan Slam, penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja bersemangat untuk bertemu peminat, malah sudah bersedia untuk mendendangkan 18 hingga 20 lagu pada malam konsert tersebut. 

“Alhamdulillah, setakat ini, keadaan fizikal saya baik-baik sahaja dan harap terus kekal menjelang malam konsert nanti. Namun, tidak dinafikan perasaan risau itu tetap ada dan apa yang boleh saya lakukan ketika ini adalah jaga kesihatan dan suara setiap hari. 

“Susunan lagu juga akan dibuat mengikut kesesuaian dan kemampuan vokal saya ketika ini. Insya-Allah, saya harap semuanya akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” kata Zamani.

Konsert Slam Nurkasih yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur, 6 Ogos ini dianjurkan oleh AV Group & WMD Event, manakala Belbis selaku rakan produksi bersama Mewah Event Management (MEM) yang bertindak sebagai rakan strategik.

Penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan hebat selama lebih dua jam, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, antaranya empat buah gitar (dua elektrik, dua akustik) yang ditaja khas oleh PBH MUSIC Sdn Bhd. 

Tiket-tiket yang ditawarkan bermula dari RM198 sehingga RM5000. Untuk keterangan lanjut peminat boleh menghubungi Illaso ticket 03-21706333 atau layari https://ilassotickets.com/event/konsert-slam-nurkasih/.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN